Pelarian berpendidikan sukar dapat pekerjaan di Malaysia

Ramai pelarian Syria mendapatkan perlindungan negara luar selepas perang saudara tercetus. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Dua tahun lalu, ketika kemuncak perang saudara Syria berlaku, Abla Nasir yang ketika itu beruisa 21, melarikan diri dari negaranya dan mencari perlindungan di Malaysia.

Dengan memiliki ijazah dalam Sains Pelancongan, Penerbangan dan Hotel dari Universiti Damascus, Abla sepatutnya dapat bekerja sebagai pembantu penerbangan, atau menguruskan hotel dan restoran.

Sebaliknya, dia melakukan 2 pekerjaan hanya untuk membantu ibu bapa dan adiknya yang masih berada di Syria – semuanya kerana dia pelarian.

“Saya perlu banyak pekerjaan. Selain bekerja dengan Suruhanjaya Migrasi Katolik Antarabangsa (ICMC), saya juga mengajar bahasa Inggeris untuk kanak-kanak,” kata Abla yang kini berusia 23 tahun.

ICMC menyediakan khidmat kaunseling percuma kepada pelarian.

Oleh kerana status pelariannya, Abla sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya.

“Saya sedang mencari pekerjaan di sana sini ketika saya mula-mula tiba di sini,” katanya kepada FMT selepas satu majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai keganasan berasaskan jantina.

“Saya bekerja sebagai pelatih peribadi, mengajar Bahasa Inggeris kepada anak-anak, dalam khidmat pelanggan dan di restoran.

“Apabila saya pergi temuduga, perkara pertama yang mereka tanya, adakah saya pelarian,” katanya.

Pada mulanya, Abla merasa sukar untuk menjawab soalan itu, namun lama kelamaan dia membiasakan diri dan menyedari ia adalah perincian penting kepada bakal majikan.

“Ia semakin normal bagi saya, sekarang saya berharap dapat ditanya soalan ini,” katanya.

Adakala, Abla menghantar e-mel permohonan atau memohon kerja melalui laman mencari kerja.

Bagaimanapun, masalah bermula apabila dia dipanggil untuk temuduga.

“Dan kemudian saya masuk untuk temuduga dan mereka akan bertanya (sama ada saya pelarian). Ini semua kitaran yang perlu saya lalui berulang kali,” katanya.

Abla yang enggan dirakam gambar mempunyai seorang abang tiri warga Malaysia yang kadang-kadang membantunya. Kalau tidak, dia akan melakukannya sendiri.

“Saya cuba untuk stabil kerana saya mahu membantu keluarga. Saya cuba menjadi kuat untuk mereka.”

Abla berkata dia tidak mahu menambah beban keluarganya di mana bapanya berniaga kedai roti dan menjual pakaian.

Abla adalah seorang daripada 5 juta warga Syria yang memohon bantuan negara luar sejak perang bermula hampir 8 tahun lalu, menurut data PBB.

Majikan sukar gaji pelarian

Naib Presiden Persatuan Pengilang Malaysia Nathan K Suppiah berkata pelarian tidak mempunyai status undang-undang untuk memiliki pekerjaan di negara ini kerana Malaysia tidak menandatangani konvensyen pelarian PBB atau sebarang protokol lain.

“Walaupun pekerjaan dibenarkan, sukar untuk mengesahkan kelayakan dan pengalaman mereka,” katanya kepada FMT.

Nathan berkata disebabkan masalah itu, pelarian sering melakukan pekerjaan sektor 3D (dirty, difficult, dangerous) di mana mereka lebih terdedah kepada eksploitasi.

Beliau berkata Malaysia tidak dapat lari daripada krisis pelarian di seluruh dunia, beliau mencadangkan agar program holistik dan proses pemeriksaan diadakan untuk menyediakan pekerjaan kepada pelarian dalam sektor tempatan.

“Ini pastinya akan memberi kelapangan dari segi kekurangan buruh.”

Bagaimanapun, Nathan menambah pelarian mungkin mengambil kesempatan daripada “perhotelan Malaysia” dan menggunakan negara ini sebagai hab transit.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pengambilan pelarian tidak mudah.

Kesahihan status pelarian mereka sendiri adalah masalah, katanya.

“Suruhanjaya Tinggi PPB bagi Pelarian (UNHCR) memulakan program ID, tetapi kerajaan mendapati banyak ID palsu. Ini adalah sesuatu yang UNHCR dan mungkin kerajaan boleh menyelesaikannya bersama,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata majikan tidak berminat untuk menggaji pelarian meskipun memiliki kelayakan dan ijazah kerana mereka lebih suka mengupah profesional tempatan.

Bagaimanapun, majikan akan menikmati manfaat kos yang besar jika mereka menggaji pelarian untuk pekerjaan yang berorientasikan tenaga kerja seperti di ladang, katanya.

“Kami berminat mengambil mereka, tidak ada kos untuk membawa mereka ke negara ini kerana mereka sudah ada di sini. Mereka juga sudah mempunyai tempat tinggal sendiri di negara ini,” kata Shamsuddin.

Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan pelarian tidak berminat bekerja jauh dari bandar.