Polis tunggu laporan penuh bedah siasat ke-2 CEO Cradle Fund

PETALING JAYA: Polis belum menyelesaikan siasatan kes kematian ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan kerana laporan penuh bedah siasat ke-2 belum diterima.

“Kita memang mahu laporan itu cepat mungkin tapi pihak yang mengendalikan postmortem itu belum kemuka kepada kita,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Jenazah Nazrin dibawa keluar dari tanah perkuburan untuk bedah siasat kali ke-2 pada 8 Oktober lalu dan dikebumikan semula pada 15 Oktober.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumah pada 14 Jun lalu, tetapi kematiannya dikelaskan sebagai kes bunuh pada 3 Ogos selepas bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.