Straw plastik hanya diberi jika pelanggan minta, kata exco

Kerajaan Selangor akan haramkan penggunaan penyedut minuman plastik mulai Januari depan. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini berkata penyedut minuman plastik tidak akan diberikan secara automatik kepada pelanggan bermula tahun depan.

Exco Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian sebaliknya berkata penyedut minuman hanya diberikan sekiranya diminta pelanggan.

“Kaunter-kaunter restoran tidak akan meletak penyedut minuman dengan diambil bebas oleh pelanggan.

“Kalau pelanggan nak penyedut minuman, kena minta dan pengusaha restoran baru bagi,” katanya ketika berucap di DUN Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) yang bertanya adakah kerajaan negeri akan kenakan caj atas penggunaan penyedut minuman.

Hee berkata larangan pemberian penyedut minuman kepada pelanggan juga merupakan hasrat kerajaan persekutuan di mana penyedut minuman tidak diberikan secara automatik.

Adun Kajang itu menambah, kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk mengenakan caj kepada pengguna terhadap penyedut minuman.

“Tak kenakan caj, hanya kita tidak membekalkan secara automatik,” katanya.

Bagaimanapun, Hee berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan pada masa akan datang kerajaan negeri akan membuat satu kempen yang lebih ketat di mana kemungkinan kompaun dikenakan terhadap pemberian penyedut minuman.

Dalam ucapannya juga, beliau turut mencadangkan agar semua rakyat menyediakan penyedut minuman “stainless steel” di dalam beg.

“Kalau boleh sediakan penyedut minuman ‘stanless steel’ simpan dalam beg, bawa sentiasa dan pakai penyedut minuman ini. Elakkan guna penyedut minuman plastik,” katanya.