10 lelaki India, 24 wanita Thailand ditahan palsu sijil kahwin

Wanita Thailand itu diupah 500 hingga 5,000 baht untuk menyamar sebagai pasangan rakyat India terbabit.

BANGKOK: Sepuluh lelaki rakyat India dan 24 wanita rakyat Thailand adalah antara pasangan palsu yang ditahan di Thailand atas dakwaan memalsukan dokumen dan mengemukakannya kepada pihak berkuasa, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Rabu.

Polis Thailand baru-baru ini memberkas semua rakyat India terbabit kerana disyaki memanipulasi perkahwinan palsu dengan 24 wanita rakyat Thailand yang didakwa sebagai rakan sejenayah mereka dalam sindiket penipuan itu.

Sejumlah 20 lagi suspek rakyat India masih bebas.

Mereka didakwa mengeluarkan sijil perkahwinan palsu kepada pegawai daerah agar mereka dibenarkan tinggal secara sah untuk menjaga pasangan masing-masing.

Sementara itu, 6 wanita Thailand yang belum dikenal pasti masih diburu.

Mereka diupah pada harga 500 hingga 5,000 baht (kira-kira AS$15.15 hingga AS$151.51) untuk menyamar sebagai pasangan rakyat India terbabit, kata polis.

Ketua Biro Imigresen Thailand, Surachate Hakparn, pada Selasa mengarahkan semua unit imigresen di seluruh negara melakukan operasi ke atas warga asing yang disyaki melakukan jenayah dan menjejaskan keselamatan negara.