14 lagi direman dalam kes rusuhan kuil di Subang Jaya

Seramai 14 lagi individu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk direman bagi membantu siasatan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 26 November lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengeluarkan perintah reman antara satu hingga 4 hari terhadap 14 lagi individu untuk membantu siasatan berhubung rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Isnin minggu lalu.

Majistret, Mohd Ikhwan Mohd Nasir mengeluarkan perintah reman tersebut.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Ikhwan turut melanjutkan tempoh reman antara satu hingga 6 hari terhadap 3 suspek bagi membantu siasatan kes sama.

Semua suspek berusia 18 tahun hingga 40 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan berbaju lokap berwarna ungu dan jingga.

Semalam, 4 lelaki, termasuk seorang pegawai keselamatan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) yang didakwa terbabit dalam insiden itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merusuh menggunakan senjata berbahaya.

Dua lagi lelaki yang terlibat dalam insiden sama masing-masing dijatuhi hukuman penjara 2 bulan dan didenda RM5,000 atas 3 pertuduhan gagal mematuhi arahan bersurai, mengabaikan perintah polis yang menyelia lalu lintas di sekitar kawasan kuil tersebut serta gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Bernama melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai berkata jumlah mereka yang ditahan berhubung insiden rusuhan itu meningkat kepada 99 orang, setakat 9 pagi tadi.