Tubuh badan ideal menjadi impian setiap orang, khususnya wanita. Namun ia bukanlah semudah yang difikirkan.

Ini kerana seseorang yang berusaha untuk mencapai tubuh ideal perlu mengambil pelbagai usaha termasuk menjaga makan minum, bersenam dan mengikut amalan gaya hidup yang terkawal.

Pakar nutrisi, Whitney Stuart, seperti yang dipetik Business Insider berkata pilihan program diet pun belum tentu menjamin penurunan berat badan.

Justeru beliau akui terdapat beberapa perkara di luar program diet yang perlu dipertimbang.

Berikut adalah sebab program diet atau usaha menurunkan berat gagal dan tidak memberikan hasil yang diingini.

1. Kurang tidur

Kalau anda tidak mempunyai pola tidur yang baik, ia boleh memberi kesan kepada usaha penurunan berat badan. Ini kerana kurang tidur meningkatkan hormon lapar dan menurunkan hormon kenyang. Kurang tidur pada waktu malam juga membuatkan seseorang tidak memiliki tenaga yang secukupnya untuk melakukan aktiviti di siang hari menyebabkan tubuh lembap.

2. Makan terlalu cepat

Elak mengunyah makanan terlalu cepat dan terburu-buru. Perlakuan mengunyah makanan secara pantas menyukarkan tubuh mencerna lemak.

3. Kurang minum air putih

Kekurangan air juga menhalang tubuh mencerna makanan dan menyerap lemak, maka ia boleh memberi kesan kepada penurunan berat.

4. Kurang aktiviti fizikal

Terlalu fokus pada diet sehingga lupa bersenam. Sungguhpun anda berdiet, tetapi tanpa aktiviti fizikal, tidak berguna juga. Ia tidak akan membawa sebarang perubahan pada bentuk tubuh kerana hanya aktiviti fizikal yang boleh membakar kalori!

5. Jarang memantau berat badan

Bukan semua program diet sesuai untuk semua orang. Jadi seseorang harus menilai sendiri rutin dan program diet yang bersesuaian. Jangan main ikut-ikut orang.

6. Tidak bersarapan

Jangan kerana diet, anda langsung tidak bersarapan. Beberapa penelitian menunjukkan berat badan cenderung bertambah jika elak bersarapan. Ketiadaan makanan menyebabkan tubuh rasa lapar pada siang hari.