Exco Selangor: Ceroboh tanah rizab sungai punca projek tebatan banjir tergendala

Izham Hashim berkata, kerajaan negeri akan berusaha mengatasi masalah banjir kilat di Selangor dengan menyiapkan projek tebatan banjir yang tergendala. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan berusaha menyelesaikan masalah banjir kilat dengan mengurangkan projek tebatan banjir tergendala disebabkan pencerobohan tanah rizab sungai.

“Apabila nak buat kerja naik taraf dan pembersihan, tak ada laluan nak masuk sungai-sungai ini. Ini jadi halangan dan kekangan ini perlu diatasi.

“Banyak projek tebatan banjir seperti Sungai Kedondong dan Sungai Pelempas sampai hari ini dah 3 tahun tergendala kerana isu pencerobohan rizab sungai.

“Saya nak sasarkan tahun 2019 untuk selesaikan (semua projek) yang tergendala ini,” kata Exco Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau mengulas Laporan Audit Negara berhubung beberapa projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor tidak dapat disiapkan mengikut tempoh asal kontrak sehingga menyebabkan banjir kilat berlaku.

Berdasarkan pengauditan Ogos hingga Disember 2017, Jabatan Audit Negara mendapati hanya satu daripada 5 projek berjaya disiapkan dengan Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT).

Izham berkata, kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan terburu-buru dalam memastikan projek tebatan banjir itu dapat disiapkan tahun depan.

“Saya telah buat beberapa keputusan dalam mesyuarat sebelum ini untuk kita berikan kaedah alternatif kepada mereka yang menetap di tanah rizab sungai ini dengan menawarkan Rumah Selangorku atau Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Dan jika mereka masih enggan pindah, kita terpaksa ambil tindakan selanjutnya,” kata Adun Pandan Indah itu.