Henti buli penduduk Kuantan, Fuziah beritahu Lynas

Fuziah Salleh (bertudung) bersama wakil rakyat Pakatan Harapan mengadakan sidang media di lobi Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menggesa Lynas Malaysia berhenti “membuli” penduduk setempat, susulan laporan pengurusan sisa buangan syarikat nadir bumi itu yang dikeluarkan semalam.

Katanya, sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) yang selama ini tidak dibangkitkan Lynas, akhirnya terbongkar dalam laporan terperinci Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP).

“Sudahlah Lynas, sudahlah. Berhenti buli kami!” katanya dalam keadaan sebak di lobi Parlimen hari ini.

“Di situ ada manusia, kanak-anak, perumahan, air bawah tanah, pokok-pokok, binatang, sungai dan laut. Bukan itu sahaja, nelayan-nelayan yang mencari makan dan nafkah juga di situ.

“Sisa buangan itu tidak harus berada di situ. Pada hari ini, dapatan daripada jawatankuasa pemantau mendapati lebih daripada 1,000 nikel dalam air bawah tanah di Kuantan.”

Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP dalam laporannya setebal 203 muka surat yang dikeluarkan semalam mencadangkan Lynas menyediakan kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk menguruskan 2 jenis sisa buangan utama, iaitu WLP dan Neutralization Underflow Residue (NUF) dengan segera.

Katanya, kerja saringan tapak pembinaan PDF perlu dibuat sebelum lesen diperbaharui dan jika Lynas gagal mengenal pasti lokasi sesuai atau mendapat kelulusan pihak berkuasa, ia perlu mengeluarkan sisa buangannya dari Malaysia.

Fuziah yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sisa buangan itu akan membahayakan kesihatan penduduk setempat.

“Kita tidak mahu perkara ini berlarutan selama 20 tahun, lepas itu (kata) eh, kenapa bilangan penyakit kanser meningkat? Siapa yang akan bertanggungjawab untuk hal ini?” katanya.