Ibrahim Ali, 4 ahli Perkasa disoal siasat polis 3 jam

Asma Razali (dari kiri), Borhan Ahmad Zakaria, Ibrahim Ali dan Marini Nasution bergambar di luar IPD Dang Wangi, selepas memberi keterangan kepada polis hari ini.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali bersama 4 ahlinya selesai memberi keterangan selama 3 jam kepada polis berhubung ucapan dalam Himpunan Jihad Perkasa, Ahad lalu.

Katanya, polis menyiasat mereka berlima di bawah Seksyen 112 (2) Akta Polis.

“Saya telah memberi keterangan secara telus dan menjawab apa sahaja soalan yang dikemukakan kepada kami.

“Saya mengatakan ucapan saya boleh dilihat daripada video yang dirakamkan, terpulang kepada pihak keselamatan membuat penafsiran,” katanya di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas selesai memberi keterangan pada 1.30 tengah hari tadi.

Empat individu lain itu adalah Naib Presiden Perkasa, Hasan Basri, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Borhan Ahmad Zakaria, Ketua Wanita Perkasa, Marini Nasution dan ahlinya, Dr Asma Razali.

Sementara itu, Ibrahim mempertahankan ucapannya 4 hari lalu atas alasan keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.

Beliau juga bersedia memberi kerjasama bagi membantu polis menyelesaikan kes itu, jika dipanggil semula.

Ahad lalu, bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu menerusi ucapannya berkata, gerakan hak pribumi itu akan menggunakan semua cara yang dibenarkan undang-undang untuk melawan “tekanan terhadap orang Melayu selama ini”.

“Zaman retorik sudah berakhir. Perkasa tidak akan diam diri lagi. Kita akan mula bertindak di seluruh negara.

“Kita akan bersuara, kita akan buat macam-macam tuntutan. Kita desak, kita berhimpun, kita akan ambil tindakan (undang-undang). Tindakannya tengoklah nanti.”