Kadir: Himpunan ICERD jadi medan tunjuk kekuatan politik

Gambar Bernama.

PETALING JAYA: Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan himpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu ini ialah medan tunjuk kekuatan politik antara PAS dan Umno.

Beliau berkata, kedua-dua parti itu akan menggunakan himpunan berkenaan untuk menunjukkan siapa lebih berpengaruh dan ia berbeza dengan matlamat asal mempertahankan Perlembagaan, raja Melayu dan agama Islam.

Kadir Jasin.

“Nampaknya, tunjuk perasaan anti-ICERD anjuran gabungan parti pembangkang dan sekutu mereka akan tetap diadakan, walaupun kerajaan telah memutuskan untuk tidak mengesahkan konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.

“Kedua-dua pihak menggunakan protes itu untuk menunjukkan siapa lebih kuat dari segi pengaruh,” tulisnya di blognya hari ini.

Beliau berkata, Umno dan PAS terpaksa menggunakan apa sahaja kesempatan untuk mencari dividen politik bagi menutup malu, selepas tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Bagi Umno, keadaan terdesak ini semakin memuncak dengan bertambah ramai ketuanya dihadapkan ke mahkamah atas berbagai tuduhan jenayah dan semakin ramai ahlinya keluar parti atau tidak cergas lagi.

“PAS pula mahu berpakat dengan Umno kerana terhutang budi dan beranggapan bahawa parti yang pernah dilabelkannya assabiyah itu masih mendapat sokongan.

“Umno memerlukan PAS untuk mengatur protes jalanan kerana ia sendiri tidak berpengalaman sebab sudah lama tidak turun ke jalan raya berdemonstrasi, sebaliknya menyekat orang lain berdemonstrasi.”

Kurang kefahaman mengenai ICERD

Kadir berkata, sejak permulaan lagi, himpunan ICERD itu mengambil kesempatan daripada ketidakfahaman orang ramai, khususnya orang Islam dan Melayu mengenai triti antarabangsa itu.

“Kalau orang ramai tahu, mereka tentulah tidak melatah seperti sekarang. Konvensyen ini bukanlah baru. Ia berkuat kuasa mulai 1969.

“Mereka sepatutnya lebih marah dan buat tunjuk perasaan besar-besaran mengutuk penyelewengan kerajaan BN yang menyebabkan Tabung Haji, Felda dan banyak lagi badan amanah Bumiputera dan Islam mengalami kerugian teruk.”

Beliau turut mempersoalkan berapa ramai orang Melayu dan Islam tahu atau peduli mengenainya ICERD sebelum ini.

Katanya, sehingga hari ini, hanya 88 daripada 192 negara anggota PBB menandatangani konvensyen itu dan sekadar 27 negara meratifikasinya.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, hanya 8 negara Islam terdiri daripada negara beraja dan rajanya terbuang, manakala majoriti negara Islam yang menjadi ahli ICERD itu tidak mempunyai raja atau memansuhkan institusi raja.

“Oleh sebab peka kepada kehendak majoriti rakyat jelata yang berasa konvensyen itu tidak diperlukan, maka kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan tidak menandatangani dan meratifikasinya.

“Bagaimanapun, disebabkan sudah terlanjur, maka penganjur demonstrasi itu terpaksalah meneruskannya dengan mengubah jalan cerita.

“Maklumlah perasaan peserta sudah dibakar, duit sudah dipungut, bas sudah disewa dan baju khas sudah ditempah. Kalau dibatalkan malulah.”

Katanya, beberapa pertubuhan “berjenama Melayu dan Islam” menyertai himpunan itu bagi membuktikan mereka masih relevan.

Walaupun polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan himpunan itu diadakan, tetapi ia tidak bermakna penganjur dan peserta boleh bertindak sesuka hati.

“Polis wajib bertindak tegas – seperti yang dilakukan dengan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ pada 26 November lalu – ke atas sesiapa sahaja yang mengapi-apikan sentimen kaum dan agama sepanjang tunjuk perasaan itu diadakan.

“Sekarang polis ada banyak alat pengawasan yang canggih. Jadi, mereka wajib guna untuk mengawal dan memungut maklumat mengenai tunjuk perasaan itu. Kita tahu semua itu sebab dulu mereka gunakan ke atas kita, waktu kita pembangkang. Sekarang kita kerajaan dan Umno pembangkang.”

Kadir turut menggesa polis bersikap profesional dan adil ketika menjalankan tugas, walaupun PH kini ialah kerajaan.

“Apa pun kita harap tunjuk perasaan yang diuar-uarkan akan disertai setengah juta orang itu berjalan lancar, tanpa terlalu banyak mengganggu kegiatan harian orang lain.”