Kadir saran potong gaji selepas Kelantan isytihar cuti sempena himpunan ICERD

Kadir Jasin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mencadangkan Putrajaya memotong gaji penjawat awam di Kelantan, selepas kerajaan negeri mengisytiharkan cuti peristiwa Ahad ini untuk memberi peluang rakyatnya menyertai himpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara, sehari sebelumnya.

“Oleh sebab sebahagian gaji kakitangan perkhidmatan awam Kelantan dibayar oleh kerajaan pusat, saya cadangkan kerajaan pusat potong satu hari peruntukan gaji mereka.

“Kalau mereka dibayar gaji, samalah seperti mengupah mereka ambil bahagian dalam tunjuk perasaan. Dan sahlah PAS memang upah orang Melayu tunjuk perasaan,” tulisnya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dipetik Bernama sebagai berkata, cuti peristiwa itu bertujuan memberi ruang kepada rakyat Kelantan menzahirkan kecintaan kepada negara dengan mesej pentingnya keharmonian masyarakat pelbagai kaum dipelihara.

“Insya Allah, kita akan berhimpun secara aman dan berakhlak mulia tanpa sebarang bentuk provokasi serta mengikut segala panduan dan arahan pihak berkuasa,” katanya selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Kelmarin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilapor membenarkan himpunan kesyukuran sempena penolakan ICERD diadakan di Jalan Raja, iaitu depan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi perhimpunan dari 2 hingga 6 petang Sabtu ini.

DBKL menerima permohonan daripada penganjur Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, Gerakan Pembela Ummah dan Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia pada 27 November lalu.

PAS dan Umno berjanji akan menyertai perhimpunan itu yang dijangka dihadiri 500,000 orang.