KBS akan bantu bekas pemain bola sepak tidur di kaki lima

Bekas pemain bola itu menjadi gelandangan sementara dalam tempoh mendapatkan rawatan di IJN. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan akan membantu bekas pemain bola sepak kebangsaan yang dilaporkan terpaksa tidur di kaki lima setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya sudah mengarahkan pegawai di kementerian dan agensi terbabit untuk membantu bekas atlet bola sepak itu dan berusaha membantunya dalam apa juga cara.

“Saya sudah arahkan KBS dan agensi untuk membantu beliau dalam apa-apa juga cara. Saya sendiri sudah dimaklumkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), iaitu badan yang menjaga kebajikan bekas atlet, yayasan berkenaan sebelum ini sudah menyampaikan bantuan dari segi kos rawatan lain.

“Tetapi, dalam soal ini, Yakeb memaklumkan kepada saya yayasan itu tidak dihubungi. Saya dan KBS akan mencari jalan sebaik mungkin untuk membantunya. Kita akan hubungi beliau dan cari jalan apakah yang beliau perlukan,” katanya kepada FMT.

Syed Saddiq turut memaklumkan, mana-mana bekas atlet yang melalui perkara sama boleh memohon untuk mendapatkan bantuan dan memberi jaminan akan membantu sebaik mungkin.

Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan pemain berusia lewat 40-an itu terpaksa tidur di kaki lima setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan di IJN. Bahkan, terpaksa hidup sebagai gelandangan di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur sementara menunggu tarikh pembedahan memasukkan perentak jantung tahun ini.

“Simpanan semakin berkurangan, sebab itu lebih 8 bulan saya menjalani hidup sebegini setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan di IJN, saya tidak mampu untuk menyewa hotel maka terpaksa tidur di kaki lima ini.

“Saya bukanlah penghuni tetap di kaki lima memandangkan saya cuma berehat dan tidur dalam tempoh tertentu sahaja (beberapa minggu dalam sebulan). Sejurus selesai sesi rawatan, saya akan pulang ke kampung, apapun inilah nasib saya sekarang,” kata atlet berkenaan.

Bekas pemain posisi pertahanan yang pernah mewakili beberapa pasukan negeri itu berkata kesukaran hidupnya bermula apabila dia disahkan menghidap penyakit jantung sekitar 2009. Anak kelahiran Pulau Pinang itu kemudian dimaklumkan penyakitnya bertambah kronik sejak 3 tahun lalu.

Lebih malang, beliau yang pernah bekerja sebagai buruh selama setahun tidak mampu meneruskan pekerjaan itu disebabkan penyakitnya.

Menurutnya, meskipun menjadi gelandangan sementara, dia masih mampu menguruskan diri dengan baik dengan memanfaatkan kemudahan awam seperti surau dan masjid untuk membersihkan diri dan bersolat.