Konspirasi guling MB Perak: SPRM ambil keterangan Adun Tebing Tinggi

Abdul Aziz Bari menafikan beliau mendalangi konspirasi menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu menerusi undi tidak percaya. (Gambar Bernama)

IPOH: Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari mengesahkan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak hari ini mengenai isu fitnah menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Perkara itu diberitahu pegawai medianya yang juga Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Shukrie Ibrahim.

Katanya, Aziz memberi keterangan selama 2 jam kepada SPRM Perak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Astro Awani hari ini memaklumkan SPRM Perak membuka kertas siasatan dan akan menyiasat perkara itu.

“Kita kena dapatkan keterangan saksi-saksi,” kata Azam.

Semalam, Aziz menafikan beliau ialah dalang untuk menjatuhkan menteri besar menerusi undi tidak percaya dan menyifatkan tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad sebagai “cerita kartun”.

Saarani di luar sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 hari ini berkata, beliau tidak mereka cerita, sebaliknya mempunyai akuan sumpah 5 Adun Barisan Nasional yang ditemui Adun Tebing Tinggi itu.