Laporan audit 1MDB: Bekas ketua audit disoal SPRM lebih 7 jam

Ambrin Buang tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 2 petang tadi untuk membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang dipercayai memberi keterangan lebih 7 jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Kenderaan yang membawa Ambrin dilihat meninggalkan bangunan suruhanjaya itu pada 9.30 malam tadi, dipercayai setelah dirakam keterangan berhubung siasatan mengenai pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Terdahulu, Ambrin tiba kira-kira 2 petang tadi dengan menaiki Proton Perdana berwarna hitam.

Kehadirannya dipercayai bagi membantu siasatan, susulan pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad pada 24 November lalu yang laporan audit 1MDB diubah dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tahu mengenai perkara itu.

Madinah mendedahkan 2 perkara penting digugurkan dalam laporan itu, iaitu kehadiran ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Selain Ambrin, turut dipanggil memberi keterangan hari ini berhubung perkara sama ialah bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.