Menteri akan umum pengerusi Finas dalam masa terdekat

Eddin Syazli Shiht berkata, barisan kepimpinan baharu itu diharap dapat memainkan peranan penting untuk menyelesaikan masalah dalaman Finas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo akan mengumumkan barisan kepimpinan baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam masa terdekat, kata Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith.

Katanya, barisan kepimpinan baharu itu diharap dapat memainkan peranan penting untuk mengurus dan menyelesaikan masalah dalaman Finas.

“Apa yang penting adalah menyelesaikan masalah dalaman Finas.

“Saya percaya menteri sudah mengenal pasti nama-nama baru untuk itu. Beri menteri masa untuk umumkan dalam masa terdekat kerana beliau sekarang berada di Bali,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kelewatan pengumuman barisan ahli lembaga pengarah Finas yang baharu selepas menterinya dilaporkan akan berbuat demikian minggu lalu.

Awal bulan lalu, Gobind dilaporkan berkata, lembaga pengarah Finas baharu itu terdiri daripada individu berpengalaman dalam bidang perfileman, karyawan, akauntan dan undang-undang.

Finas tidak mempunyai pengerusi, selepas Datuk Khusairi Abdul Talib meletak jawatan pada 14 Mei lalu, kurang seminggu selepas kerajaan Pakatan Harapan dibentuk. Kekosongan itu belum diisi sehingga kini.

Kelmarin, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2017 Siri 2 menunjukkan 19 seksyen dalam Finas gagal diaudit ekoran kegagalan mempersembahkan laporan lengkap.

Berdasarkan laporan itu, 6 daripada 19 seksyen melibatkan badan itu tidak direkodkan, 3 tidak diiktiraf atau disahkan dan 3 lagi menunjukkan perbezaan penyata kewangan.