Ops Yaman 2: Hishammuddin suruh Liew minta penjelasan MKN

Hishammuddin Hussein bersedia disiasat pihak berkuasa berhubung Ops Yaman 2.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong mendapatkan penjelasan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung isu Ops Yaman 2.

Hishammuddin bagaimanapun tidak menjawab secara langsung sama ada tindakan Malaysia memberikan sokongan logistik kepada pakatan tentera Arab itu perlu mendapat kelulusan Kabinet.

“Dia (Liew) kena tahu apakah itu MKN, saya rasa dia lupa apakah MKN. Dia kata tidak dibawa ke Kabinet, jadi apa yang terjadi pada MKN. Tanyalah pada MKN, tanya pada mereka apa yang sebenarnya kita lakukan.

“Tetapi mestilah ‘declassified’ maklumat ini kerana ia adalah kepentingan nasional. Kalau betul mereka hendak buat (dapatkan maklumat), gunakan agensi di bawah mereka sekarang untuk cari kebenaran,” katanya sewaktu ditemui pemberita, di Parlimen hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau sendiri bersedia disiasat pihak berkuasa sekiranya tindakannya itu tidak tepat dan bercanggah dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Buatlah siasatan, ambil tindakan berbanding lakukan tuduhan. Saya tidak takut apa-apa tetapi siasatlah dengan pihak yang betul-betul terbabit. Ada yang kata “blood is in our hand” tetapi dia cerita anggota kita selamatkan rakyat kita di Yaman,” katanya.

Jelasnya, beliau sendiri hairan mengapakah isu berkenaan masih dibangkitkan sedangkan beliau sudah menjelaskan perkara berkenaan berkali-kali di Dewan Rakyat sewaktu menjawat tugas sebagai menteri.

“Saya tidak tahu kenapa benda ini dibangkitkan sekarang, saya fikir juga semalam kerana sudah jawab lama dah, mungkin menteri ini masih dalam minda pembangkang, tidak boleh ubah, menuding jari, mencari salah.

“Saya percaya ini mungkin hendak alih pandangan dari kelemahan mereka sendiri, bagi saya dalam penglibatan kita di Arab Saudi, saya sudah jawab di ‘hansard’. Apabila orang kata tidak jawab, saya katakan sudah jawab,” katanya.

Perlu kelulusan Kabinet

Sementara itu, Liew sewaktu ditemui bagi mendapatkan respon berhubung kenyataan Hishammuddin, menegaskan setiap keputusan perlu mendapatkan kelulusan Kabinet memandangkan ada peruntukan kerajaan digunakan.

“Ini memang belum diputuskan Parlimen atau Kabinet. Biasanya keputusan seperti ini perlu diputuskan oleh Kabinet. Tetapi isunya ialah keputusan begitu besar melibatkan peruntukan sebanyak RM14 juta dalam 3 tahun.

“Ia seharusnya dibawa ke Kabinet kerana melibatkan peruntukan kepada 12 siri ketenteraan. Ia melibatkan sejumlah besar anggota tentera kita,” katanya.

Terdahulu, Liew mendedahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit secara rahsia membantu pakatan ketenteraan Arab Saudi melalui Ops Yaman 2 yang tidak mendapat kelulusan Kabinet ketika pentadbiran terdahulu.

Penugasan ATM menerusi Ops Yaman 2 bertujuan membantu urusan logistik penerbangan bagi membawa peralatan alat ganti peluru dan bahan letupan milik pakatan Arab dalam wilayah Arab Saudi.

Pada Mac 2016, Hishammuddin pernah menafikan pembabitan ATM dalam kerjasama ketenteraan untuk memerangi kumpulan ekstremis di Yaman dan Syria yang dipimpin Arab Saudi.

Sebaliknya, beliau mendakwa penyertaan ATM dalam eksesais North Thunder (Raad al Shamal) di wilayah itu adalah atas jemputan julung kali pihak Arab Saudi berdasarkan hubungan bilateral kedua-dua negara yang berada pada tahap tertinggi.