PAC: Madinah pertahan dakwaan laporan audit 1MDB diubah

Madinah Mohamad enggan mengulas sama ada pejabat Najib Razak pernah mengarahkan beliau mengubah Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mempertahankan kenyataannya berhubung Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda atas arahan beberapa individu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Seperti dinyatakan dalam kenyataan akhbar Madinah, beliau memberitahu laporan audit 1MDB diubah dan beliau memberi keterangan menunjukkan laporan audit itu sudah diubah. Saya bagaimanapun tidak dapat berkongsi bukti yang diberikan.

“Hari ini, kita juga menerima beberapa nama baharu lagi yang akan dipanggil PAC. Perjalanan prosiding hari ini memuaskan hati, banyak keterangan yang kita perolehi dan sudah tentu kita akan siasat sama ada laporan audit berkenaan 1MDB ini diubah atau tidak,” katanya di Parlimen hari ini.

Pada 24 November lalu, Madinah mengeluarkan satu kenyataan mendakwa laporan audit itu dipinda atas arahan beberapa individu, termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas ketua setiausaha sulitnya, Tan Sri Shukry Salleh; bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Ali Hamsa; bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Madinah dilaporkan berkata, laporan itu dipinda dengan menggugurkan 2 perkara penting, iaitu kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan satu perenggan yang mengandungi 2 versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014.

Selain PAC, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membuka siasatan ke atas dakwaan itu dengan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatannya.

Ronald berkata, PAC tidak nampak keperluan memanggil Madinah memberi keterangan semula dan esok ialah hari terakhir siasatan kes itu bagi bulan ini.

“Esok kita akan panggil bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, sebelum siasatan disambung pada Januari. Pada Februari, kita berharap dapat membuat rumusan terhadap kes yang kita sedang siasat.”

Sementara itu, Madinah enggan mengulas sama ada pejabat Najib mengarahkan beliau mengubah laporan audit itu.

“Saya sudah memberi keterangan kepada PAC, jadi terpulanglah kepada PAC dan pengerusinya untuk memaklumkan. Kita juga sudah serahkan bukti kepada PAC dan ada baiknya pengerusi yang beri maklumat kepada pemberita.”

Ditanya mengenai laporan media memetik sumber mendakwa Ambrin memaklumkan PAC yang laporan audit 1MDB didedahkan Madinah hanyalaf draf, ini jawapan Madinah.

“Saya tidak dapat maklumat tentang keterangan Ambrin, saya hanya dimaklumkan dalam PAC. Saya sudah memaklumkan pandangan dan pendapat saya kepada PAC. Dokumen juga sudah saya serahkan kepada PAC.”

Ditanya mengenai perkara sama, Ronald berkata, PAC akan meneliti penjelasan semua pihak sebelum membuat pertimbangan selepas siasatan selesai.

Semalam, Ronald dilaporkan berkata, PAC akan memanggil Arul Kanda dan sekurang-kurangnya 3 individu lain untuk disoal siasat berhubung dakwaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, selepas mendengar keterangan Ambrin.

Selain Arul Kanda, PAC turut akan memanggil bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Ali Hamsa dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Siasatan PAC kali ini bertujuan mengesahkan sama ada berlaku pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB seperti didakwa.