Pakar sokong Putrajaya pinda, bukan mansuh Auku

PETALING JAYA: Seorang ahli akademi mempertahankan langkah Kementerian Pendidikan meminda dan bukannya memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), walaupun pada awalnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk memansuhkan akta itu.

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya Prof Azmi Sharom memberitahu FMT, pemansuhan Auku akan mengambil masa kerana ia perlu digantikan dengan undang-undang lain.

Katanya, meminda sebahagian daripada Auku yang “sangat menyakitkan” kepada pelajar adalah langkah yang betul kerana ia adalah “langkah yang tidak membuahkan hasil”.

“Kebanyakan peraturan Auku sangat teknikal dan mempunyai kaitan dengan tadbir urus universiti, jadi banyak pemikiran perlu dimasukkan ke dalam penggantiannya.

“Anda tidak boleh batalkan Auku kerana ia juga mempunyai kaitan dengan pentadbiran dan struktur universiti sehari-hari.”

Beliau berkata kerajaan mesti diberi masa untuk membuat alternatif kepada aspek tindakan yang perlu diperbetulkan, termasuk siapa yang melantik lembaga universiti dan bagaimana pelantikan ini dibuat.

Lebih penting lagi, katanya, perlu ada semakan peraturan disiplin di setiap universiti kerana ini ditetapkan oleh institusi masing-masing.

Beliau berkata peraturan universiti yang sebenarnya menimbulkan masalah kepada pelajar dari segi kebebasan akademik dan bersuara.

“Peraturan ini perlu disemak. Apa yang penting ialah peraturan universiti sepatutnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya, sambil menyatakan Menteri Pendidikan Maszlee Malik yakin kerajaan akan memansuhkan Auku apabila tiba masanya.

Rang Undang-Undang Auku (Pindaan) 2018 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, bersama-sama 2 yang lain bertujuan membenarkan pelajar universiti menyertai aktiviti politik di kampus.

Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke berkata kumpulan itu memahami pemansuhan Auku akan mengambil masa dan akta ganti perlu diwujudkan.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan kekecewaan apabila peruntukan seperti Perkara 15A dan 16 akta itu masih tidak disentuh.

Beliau memberitahu FMT, peruntukan ini masih mempengaruhi autonomi pelajar dari segi kebebasan bersuara dan berpersatuan.

Beliau berkata Perkara 15A melarang badan pelajar daripada mengumpul dana dan mengakses serta menguruskan kewangan mereka sendiri, sementara prosedur untuk membuat tuntutan “terlalu rumit dan tidak cekap”.

Sementara itu, Perkara 16, memberi kuasa mutlak kepada lembaga universiti dan naib canselor untuk menentukan sama ada tindakan pelajar tidak sesuai atau merugikan universiti.

Beliau mengulangi permintaan Umany untuk pemansuhan Auku, mengatakan pelajar universiti tidak boleh diperlakukan seperti kanak-kanak tadika.

Pada tahun 1960-an, beliau menambah, Kesatuan Pelajar Universiti Malaya mempunyai dana sendiri yang digunakan untuk menjalankan perkhidmatan bas ulang-alik dan mengekalkan kantin dan bangunan lain.