Peguam: Equanimity dijangka jual Mac 2019

Equanimity sedang berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga Tentera Laut Diraja Malaysia di Bukit Malut, Langkawi.

KUALA LUMPUR: Kapal layar mewah Equanimity yang dikatakan pernah dimiliki ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, akan dijual kepada pemilik barunya menjelang akhir Mac depan, kata peguam yang menguruskan urus niaga itu.

Sitpah Selvaratnam yang mewakili Jabatan Peguam Negara berkata, pegawai Mahkamah Tinggi (Bahagian Admiralti) akan mendapatkan perintah mahkamah yang diperlukan untuk memulakan fasa ke-2 penjualan kehakiman oleh perjanjian peribadi.

“Sherif (pegawai mahkamah) berpendapat fasa ke-2 akan memberi kelebihan dalam mendapatkan nilai optimum untuknya,” katanya sambil menambah kapal layar itu akan dijual dengan “9 angka” yang sepadan dengan spesifikasinya.

Proses pembidaan ditutup 28 November lalu, selepas mahkamah membenarkan 1MDB dan kerajaan menjualnya.

Pembidaan dijalankan selama sebulan bermula 29 Oktober lalu dan Sitpah berkata, ia mendapat tawaran daripada pembeli dari rantau Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat (AS).

Kapal yang dilaporkan dibina khas untuk Jho Low pada 2014 pada harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion) itu disita di Bali, Indonesia, Februari lalu atas permintaan pihak berkuasa AS sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah Jabatan Kehakiman AS (DoJ) ke atas skandal 1MDB.

Ia kemudiannya diserahkan kepada kerajaan Malaysia kerana dikaitkan dengan skandal rasuah 1MDB, Ogos lalu.

Kapal sepanjang 91.5m itu kini berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, Langkawi.

Kerajaan dilapor menghabiskan RM3.5 juta untuk menyelenggara Equanimity sejak kapal layar itu tiba di Pelabuhan Klang, 7 Ogos lalu.