Peluasan had Pelabuhan JB ceroboh perairan kami, kata Singapura

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, dakwaan Singapura tidak tepat kerana had pelabuhan yang diubah untuk Pelabuhan Johor Bahru sama sekali tidak menceroboh wilayah republik itu. (Gambar Johorport.com)

SINGAPURA: Singapura mengulangi perairan wilayahnya memang menganjur ke barat had pelabuhan semasa sekitar Tuas, menurut jurucakap Kementerian Pengangkutan republik itu.

Oleh itu, katanya, peluasan had pelabuhan Johor Bahru menceroboh kawasan perairan Singapura di kawasan tersebut dan merupakan pencabulan serius terhadap kedaulatan Singapura serta undang-undang antarabangsa.

Satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini sebagai respons kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan peluasan had pelabuhan Johor Bahru baru-baru ini tidak “menyentuh” sempadan Singapura.

“Kita boleh membuat tinjauan untuk menentukan sama ada ia betul atau salah. Garisan mereka tidak tepat, kita masih berada di perairan kita sendiri,” katanya hari ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, Malaysia mendapati dakwaan Singapura tidak tepat kerana had pelabuhan yang diubah untuk Pelabuhan Johor Bahru sama sekali tidak menceroboh wilayah Singapura.

Loke berkata, Singapura kebelakangan ini menjalankan kerja penambakan secara besar di kawasan yang dipertikaikan dan mengikut undang-undang trite, penambakan tanah tidak memperluaskan titik pangkal dan/atau garis pangkal negara.

Katanya, Mengikut undang-undang antarabangsa, perairan wilayah Singapura kekal tidak berubah, walaupun kerja penambakan dijalankan hampir ke perbatasan luar perairan Singapura.