Pusat jagaan jelajah negara cari ‘keluarga baru’ kucing

Peminat kucing sedang memilih kucing kegemaran mereka di Pusat Jagaan Kucing.

KUALA LUMPUR: Inisiatif menggalakkan rakyat Malaysia membela haiwan peliharaan di rumah, khususnya kucing mendorong sebuah syarikat menguruskan pemilikan haiwan itu menjelajah ke seluruh negara untuk memberikannya secara percuma kepada pelanggan.

Muhammad Radzi Shafie, 22, salah seorang pengurus syarikat Pusat Jagaan Kucing berkata, setiap kucing perlu diberikan peluang kedua untuk mempunyai pemilik baru sekiranya pemilik asal tidak berkemampuan untuk memelihara haiwan itu dengan baik.

Muhammad Radzi Shafie memegang salah seekor kucing yang akan dimiliki tuan baru.

“Pada permulaan kita nampak bagaimana nasib kucing ini apabila dibuang, maka dari situlah kita lakukan inisiatif menubuhkan sebuah pusat khusus untuk kucing. Antara sebab pemilik kucing lama berikan kucing mereka kepada kita adalah disebabkan memiliki terlalu banyak kucing.

“Kadang-kala, persekitaran juga tidak sesuai pelihara kucing seperti pelihara kucing di rumah flat hingga menyebabkan jiran-jiran tidak selesa dengan bau busuk dari najis haiwan berkenaan. Maka kita carikan tuan baru untuk kucing ini,” katanya kepada FMT.

Idea dan perkhidmatan yang dicetuskan sejak 2016 ini, pada mulanya memang nampak asing namun lama-kelamaan ia semakin diterima ramai pihak, hinggakan menurut Radzi, pihaknya kini tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Radzi bersama-sama 8 lagi pembantunya menjelajah dari Perlis hingga ke Johor, bahkan hingga ke Pantai Timur setiap minggu untuk mencari kucing yang ingin diserahkan kepadanya sebelum diberikan secara percuma kepada pemilik baru.

“Setiap hari memang ada kucing yang kita akan ‘pick up’ dari 10 hingga 15 ekor sehari. Pelanggan nampak bagaimana kita beroperasi, kita akan ‘update’ setiap proses melalui media sosial. Dari situ, pemilik kucing yang lama boleh nampak bagaimana keadaan kucing mereka,” katanya.

Radzi berkata jika pemilik kucing ingin menyerahkan kucing kepadanya, mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM80 untuk seekor kucing, ia adalah sebagai kos untuk mendapatkan rawatan, makanan dan beberapa kemudahan asas lain.

Bukan itu sahaja, dengan nilai RM80 untuk seekor kucing, ia akan digunakan untuk tujuan membayar gaji kakitangannya selain perlu membayar beberapa keperluan lain seperti sewaan tapak di beberapa lokasi bagi proses penyerahan kucing.

“Selepas kita ambil kucing, kita akan tanggung dari A hingga Z. Jika ada perubahan yang menunjukkan kucing dalam keadaan tidak sihat, maka wang itu akan digunakan untuk lakukan rawatan. Namun selepas kucing ini sihat, kita akan berikan ia secara percuma kepada pemilik kucing baru.

“Apa jenis baka kucing kita akan berikan secara percuma. Kita berpegang pada prinsip ‘adopt don’t buy’. Selain kucing kita akan berikan kotak dan kadangkala jika ada barang lain yang boleh diberikan, seperti sangkar, makanan kucing atau pasir kita akan berikan juga.

“Sebelum kucing-kucing ini diserahkan kepada pemilik baru, setiap seekor daripada haiwan peliharaan ini akan diberikan suntikan vaksin dan setiap darinya akan dipastikan keadaan kesihatan mereka dalam keadaan baik,” katanya.

Radzi berkata, gerainya dibuka bermula jam 8.00 malam hingga 2.00 pagi di Uptown Danau Kota, Setapak dan di Pusat Membeli Belah Mydin USJ, Subang Jaya serta di beberapa lokasi lain yang menjadi pusat untuknya menyerahkan kucing kepada pemilik baru.

“Kita akan keluarkan jumlah kucing yang sama dengan jumlah kucing yang kita ‘pick up’ setiap hari ini. Kita yakin akan ada orang yang sanggup untuk jaga, bela dan ambil kucing ini. Kita buka peluang kepada semua orang.

“Pengambilan kucing-kucing ini boleh dibuat dari hari Rabu hingga Ahad di Uptown Danau Kota, Mydin USJ, di Meru pada Jumaat hingga Ahad dan McDonalds Taman Buaya pada Sabtu dan Ahad.”