Putrajaya akan siasat kakitangan digugur dari kursus PTD

Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Persatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia UPUS di Shah Alam.

SHAH ALAM: Putajaya akan menyiasat dakwaan seramai 52 kakitangan kerajaan yang mengikuti kursus khas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) digugurkan daripada program terbabit.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak mahu mana-mana pihak menjadi mangsa dalam usaha kerajaan mengurangkan kos pentadbiran negara.

“Kita akan selidik perkara ini. Kita tak nak sesiapa jadi mangsa dalam usaha kita untuk kurangkan kos pentadbiran negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan 3 tahun sekali kali ke-21 Persatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia UPUS di Grand Bluewave Shah Alam.

Terdahulu media melaporkan kakitangan yang digugurkan termasuk 4 pegawai kontrak yang secara automatik kehilangan pekerjaan manakala baki 48 pegawai diarahkan kembali ke jawatan lama mereka dengan segera.

Penamatan kontrak itu berlaku selepas Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan gred lulus bagi program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA).

Kursus diploma selama 10 bulan itu membabitkan sejumlah 86 peserta.

Menurut sumber, mereka yang ditamatkan dari kursus itu terdiri daripada 31 wanita dan 21 lelaki, 5 daripada mereka pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan 20 pemegang ijazah sarjana.

Difahamkan, peserta dimaklumkan pendaftaran mereka sudah ditamatkan setelah menjalani peperiksaan pada awal hari itu.

Sumber lain berkata berkata mereka terkejut dengan keputusan itu kerana hampir menamatkan program berkenaan.

Sementara, Pengarah INTAN, Datuk Suriani Ahmad, yang mengesahkan perkara itu berkata peserta terbabit sudah ditamatkan dari kursus dan ia diputuskan oleh JPA.

Katanya, peningkatan gred lulus bagi kursus itu diputuskan secara bersama oleh INTAN dan JPA, manakala peserta dijangka mendapat markah lebih tinggi berdasarkan pengalaman kerja tambahan.

“Sebabnya adalah kerana mereka menyertai DPA secara lisan. Dalam keadaan biasa, pelantikan PTD dibuat melalui kursus JPA, dan setelah selesai, mereka akan memasuki perkhidmatan Gred 41.

“Bagaimanapun, peserta menyertai secara beransur-ansur dari pelbagai gred termasuk 41, 44, 48, 54 dan bahkan Jusa.

“Oleh kerana mereka istimewa, jangkaan lebih tinggi diberikan kerana mereka yang mempunyai pengalaman bekerja,” katanya.

Suriani juga berkata peserta seharusnya berusaha lebih keras untuk mendapat gred A sejak awal lagi.

“Apabila kami memaklumkan mengenai prestasi mereka 2 bulan lalu, kami beritahu yang markah mereka tidak mencapai jangkaan kami.

“Kami beritahu mereka perbaiki diri sejak awal. Keputusan mereka tidak memuaskan,” katanya.