Remaja maut terkena renjatan elektrik telefon bimbit

Mangsa mengalami pendarahan di telinga kiri.

PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicasnya.

Harian Metro memetik Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam sebagai berkata, mangsa, Mohd Aidi Azzhar Zahrin, 16, ditemui meninggal dunia jam 12.45 tengahari oleh ibunya.

Katanya, sebelum ke tempat kerja jam 7.45 pagi, ibu mangsa mendapati anaknya dalam keadaan tertiarap di lantai yang disangkanya sedang tidur.

“Sewaktu berada di tempat kerja, wanita itu berasa tidak sedap hati lalu pulang ke rumah. Sebaik tiba dia melihat keadaan anaknya dalam posisi yang sama.

“Wanita itu cuba mengejutkan anaknya, namun tiada tindak balas, malah keadaan badan mangsa begitu sejuk,” katanya.

Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui kesan lebam atau luka, sebaliknya pendarahan di telinga kiri.

“Ketika itu mangsa sedang memakai ‘earphone’ dan telefon bimbit miliknya yang berada bersebelahan sedang dicas. Pemeriksaan lanjut mendapati remaja itu sudah meninggal dunia,” kata Anuar Bakri lagi.

Hasil bedah siasat Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban mengesahkan remaja itu maut akibat terkena renjatan elektrik.