Selangor akan haram import sisa plastik dalam 5 tahun

Kuasa menghentikan pengimportan sisa plastik terletak di bawah KPKT.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengharamkan kemasukan sisa plastik secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian berkata, pada masa ini kerajaan negeri akan mengurangkan kemasukan sisa plastik ke negeri itu dari tahun ke tahun.

“Kita kena hadkan 1 tahun berapa tan boleh masuk ke Selangor,” katanya ketika berucap di DUN Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) yang mempersoalkan adakah ada ketetapan kerajaan negeri bagi menghalang kemasukan sisa plastik di Selangor.

Sebelum ini, portal berita luar negara, RadioNZ mendedahkan ribuan tan sisa plastik dari New Zealand dikatakan dibawa masuk ke negara ini selepas China mengharamkan import sisa plastik ke negara itu.

Laporan itu menyebut hampir 40 kilang haram yang beroperasi di Jenjarom, Kuala Langat membayar dan membuang air tercemar selepas mencuci sisa plastik itu.

Mengulas lanjut, Adun Kajang itu berkata pendirian kerajaan negeri adalah tidak menggalakkan kemasukan sisa plastik ke negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri memberi masa kepada kilang memproses sisa plastik mengimport sisa plastik kerana mereka beroperasi secara sah.

“Saya rasa kalau hanya bergantung kepada sisa plastik Malaysia, ia tak cukup untuk mereka jalankan aktiviti harian mereka. Mereka terpaksa import, sebab itu saya bersetuju kita kena beransur-ansur haramkan sisa plastik ini,” katanya.

Mengulas pertanyaan Idris Ahmad (PH-Ijok) yang bertanya adakah kerajaan negeri mempunyai kuasa menghentikan kemasukan sisa plastik masuk, Hee berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghentikannya.

“Kita tak ada kuasa untuk hentikan import sisa pepejal plastik. Yang ini kuasa di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sebab itulah kita cadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya kita kena kawal sisa plastik dan itupun kita telah lakukan pada 23 Julai hingga 23 Oktober… 3 bulan kita bekukan import sisa pepejal plastik dari luar negara,” katanya.