Selangor tanggung kos tinggi jika semua golongan dapat air percuma

Peningkatan jumlah penduduk di Selangor menjadi punca skim pemberian air percuma hanya diberikan kepada B40. (Gambar AFP)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menanggung kos yang tinggi sekiranya skim pemberian air percuma diteruskan kepada semua golongan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, sejak pelaksanaan skim berkenaan pada Jun 2008 hingga Oktober tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.6 billion untuk perbelanjaan air percuma.

Beliau berkata, pada tahun pertama skim itu, sebanyak RM68 juta diperuntukkan untuk pemberian 20 meter padu air percuma untuk setiap isi rumah.

“Angkanya bertambah dengan cukup signifikan tiap-tiap tahun. Pada 2009 sebanyak RM131 juta, RM167 juta (2014), RM179 juta (2016) dan RM183 juta (2017).

“Kalau kita biarkan ia berterusan, angkanya akan mencecah lebih RM200 juta dan ia sekitar hampir 10% daripada keseluruhan belanjawan kita. Saya kira ia tidak ‘sustainable’ kita buat,” katanya ketika berucap di DUN Selangor hari ini.

Terdahulu, Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Bharu) bertanya mengenai kos pemberian air percuma yang dilaksanakan di negeri ini.

Pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat Selangor bermula pada 2008 selepas kerajaan negeri ditadbir oleh Pakatan Rakyat dan perkara itu adalah antara manifesto pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12).

Bagaimanapun, pada pembentangan Bajet Selangor 2019 2 minggu lalu, Amirudin mengumumkan skim pemberian air percuma sebanyak 25 meter padu itu hanya diberikan kepada golongan sasar yang berada dalam kalangan B40 iaitu mereka yang berdaftar dengan program E-Kasih.

Amirudin berkata peningkatan jumlah penduduk yang semakin tinggi di Selangor menjadi punca skim pemberian air percuma hanya diberikan kepada golongan B40.