Shafee akan fail permohonan selepas hakim enggan tarik diri dengar kesnya

Muhammad Shafee Abdullah (kiri) bersama peguamnya, Harvinderjit Singh di luar Mahkamah Tinggi hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan memfailkan permohonan supaya seorang hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram RM9.5 juta.

Katanya, permohonan rasmi itu akan difailkan minggu ini supaya Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya.

Sequerah enggan berundur daripada mendengar kes pengubahan wang itu selepas peguam, Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee mencadangkan kepada mahkamah dalam sebutan semula kes itu hari ini, yang hakim terbabit tidak patut mendengar kes berkenaan.

“Kami berpendapat Yang Arif (Sequerah) tidak patut mendengar kes ini kerana Yang Arif turut mendengar 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa Datuk Seri Najib Razak,” katanya merujuk pertuduhan jenayah terhadap bekas perdana menteri itu.

“Kami tidak ada sebarang isu dengan 2 lagi hakim yang tidak terbabit mendengar kes Najib.”

Perbicaraan kes pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa Najib akan bermula 15 April 2019.

Timbalan Pendakwa Raya secara fiat, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata pihak pendakwaan tidak membantah cadangan Harvinderjit, tetapi akan menghormati sebarang keputusan dibuat Sequerah.

Sequerah bertegas tidak akan menarik diri daripada kes Shafee dan meneruskan penetapan tarikh perbicaraan bagi Mei depan.

“Saya akan meneruskan dengan mendengar kes ini dan menetapkan tarikh perbicaraan, tertakluk kepada permohonan rasmi oleh pihak pembelaan.”

Perbicaraan Shafee dijadualkan bermula 14 dan 15 Mei 2019, diteruskan pada 17 Mei, 28 dan 29 Mei serta 31 Mei.

Pada 13 September lalu, Shafee mengaku tidak bersalah terhadap 4 pertuduhan menerima RM9.5 juta daripada Najib hasil aktiviti pengubahan wang haram antara Ogos 2013 hingga Januari 2014 dan membuat penyata palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi jumlah sama antara Mac hingga Jun 2015.