Usul pisah kuasa pendakwa raya, peguam negara belum ke Parlimen

Hanipa Maidin berkata cadangan pemisahan kuasa itu memerlukan pindaan Perlembagaan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk melaksanakan pemisahan kuasa pendakwa raya dan peguam negara namun enggan mengambil risiko ia ditolak jika membawa usul itu ke Parlimen pada masa ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata ini kerana kerajaan mempunyai kekangan tidak mempunyai kuasa 2/3 di Dewan Rakyat kerana cadangan pemisahan kuasa itu memerlukan pindaan Perlembagaan.

“Sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya di negara ini, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dan untuk meminda perlembagaan, berdasarkan Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan, ia memerlukan 2/3.

“Buat masa ini kita rasa kita tak ada 2/3, kita tak nak ambil risiko bila bentang, ia tidak diluluskan. Jadi, setakat ini, ia memang dibincangkan tetapi belum ada keputusan untuk membawa perkara ini (ke Parlimen), mungkin akan berlaku, tapi tak tahu bila,” katanya pada sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan terkini mengenai rancangan untuk memisahkan peranan pendakwa raya dengan peguam negara dan bagaimanakah punca kuasa dan pelaksanaan ini dapat dilaksanakan.

Hanipa berkata pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya terkandung dalam manifesto PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan ia dilaksanakan di beberapa negara lain.

“Antara sebab kami nak pisahkan kuasa ialah kerana wujudnya konflik kepentingan,” katanya.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) turut bangun memberi jaminan PAS akan menyokong usul itu sekiranya dibawa kerajaan kerana berpendapat, pemisahan kuasa perlu dipercepatkan.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) turut memberi jaminan anggota Parlimen Barisan Nasional tidak mempunyai halangan untuk memastikan sokongan 2/3 diperoleh.

Hanipa juga akan mempertimbangkan saranan Johari dalam soalan tambahannya yang meminta pihak kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang turut melibatkan anggota Parlimen pembangkang bagi membincangkan perkara itu agar ia dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kami akan ambil berat cadangan Sungai Petani, saya akan cuba kemukakan cadangan ini kepada pihak sepatutnya. Bagaimanapun, sekarang ini walaupun kita tidak ada pemisahan itu, tetapi ada perubahan besar bila kami melantik peguam negara yang baharu.

“Tak pernah terfikir bekas perdana menteri didakwa, sebelum ini kita tengok di Korea sahaja, tapi buat kali pertama rakyat lihat bekas perdana menteri dibawa ke mahkamah… tidak mustahil bekas peguam negara akan dibawa ke mahkamah oleh peguam negara sekarang, tidak mustahil ini akan berlaku kerana kami nak tunjuk kami amat serius dalam perkara ini,” katanya.