Tahukah anda setiap bahagian tubuh boleh memberi amaran mengenai kesihatan apabila ia bukan lagi dalam keadaan normal?

Benar, dan salah satu daripadanya ialah lidah kita. Ya, menurut majalah Men’s Health, warna dan keadaan lidah mampu menentukan keadaan kesihatan kita.

Lazimnya, lidah yang sihat berwarna merah muda dan jika anda kesan sebarang perubahan, kita harus lihat bagaimana untuk mengenal pasti simptomnya.

1. Putih

Lapisan putih tebal atau berat di permukaan lidah dikenali leukoplakia, lazimnya disebabkan asap rokok atau kegatalan pada lidah. Menurut doktor gigi, Lee Gause dari Smile Design Manhattan, keadaan ini juga dikaitkan dengan diabetes atau kelemahan sistem imun. “Leukoplakia paling biasa berlaku dalam kalangan perokok tegar dan bukan perokok sosial,” kata Gause.

2. “Pulau”

Kemunculan ‘pulau’ di lidah dipanggil “lidah geografi” dan muncul dalam bentuk corak merah dan kelihatan seperti peta. Gause berkata walaupun belum pasti punca kemunculannya, tetapi keadaan ini sangat biasa dan tidak berbahaya. Laman Hello Health pula menyatakan ada 2 punca, iaitu lidah yang mempunyai alur di sepanjang permukaannya dan kedua, faktor genetik.

3. Hujung lidah merah

Hujung lidah merah menunjukkan tekanan mental atau emosi. Ia berlaku dalam keadaan tertekan dan berakhir apabila tekanan berkurangan. “Ini juga dipengaruhi oleh ubat-ubatan yang mengubah aliran air liur dan penghidratan oral. Ini boleh menjejaskan mulut dan warna lidah,” kata Gause.

4. Lidah hitam dan berbulu

Ini boleh berlaku apabila ada bakteria terbentuk atau kepada perokok. Untuk mengatasinya, kita harus menjaga kebersihan mulut. Gause berkata rawatan membersih lidah 3 kali sehari, flossing dan berhenti merokok. Perokok dinasihatkan membuat 1-2 kali pembersihan tambahan setahun. Doktor gigi, Jon Marahis pula berkata, lidah hitam boleh disebabkan oleh penggunaan ubat pepto bismol yang digunakan untuk merawat sakit di perut dan saluran pencernaan. “Pepto Bismol, yang mengandungi bisthmus, juga boleh mengubah permukaan lidah menjadi hitam,” jelasnya.

5. Kuning

Menurut Jon Marashi, lidah yang kuning mengindikasi masalah jantung atau perut. Warna kuning pada lidah boleh menjadi permulaan penyakit yang beransur-ansur, kepada lidah coklat atau hitam di bahagian bawah. “Penyebab lain lidah kuning adalah kebersihan gigi, merokok, atau ubatan tertentu,” katanya yang turut mencadangkan kebersihan mulut.

6. Coklat

Biasanya lidah yang coklat disebabkan makanan atau minuman yang diambil. “Perubahan warna coklat pada lidah boleh berlaku dalam kalangan peminum kopi tegar atau perokok,” kata Marashi. Sekiranya lidah kekal berwarna coklat, ia bermakna terdapat masalah di dalam paru-paru.

7. Biru atau ungu

Marashi berkata ia boleh menjadi penunjuk masalah jantung. “Jika jantung tidak mengepam darah dengan betul, atau jika terdapat kekurangan oksigen dalam darah, lidah bertukar menjadi ungu biru,” jelasnya. Jika kita mengalami gejala ini, segera dapatkan nasihat doktor.

8. Lidah pucat

Kepucatan menunjukkan kekurangan vitamin atau nutrien, terutamanya vitamin B12 dan vitamin A. “Ia boleh dirawat dengan berunding pada doktor mengenai perubahan makanan atau suplemen,” kata Marashi.

Jika kita melihat sesuatu yang aneh pada lidah, bertenang. Jangan cuba untuk mendiagnosis diri anda, dan lebih baik pergi ke doktor.