Waytha beri keterangan lebih 3 jam kepada polis

Waytha Moorthy dipanggil untuk memberi keterangan sama ada di bawah Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy memberi keterangan kepada pihak polis lebih 3 jam, malam tadi berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur hasutan dan perkauman.

Beliau tiba di Bukit Aman, kira-kira jam 8.05 malam menaiki kereta Toyota Camry berwarna putih dan meninggalkan perkarangan Bukit Aman kira-kira jam 11.30 malam.

Ketika hadir, beliau sempat melambai tangan kepada beberapa wakil media yang menunggu di depan pintu masuk Bukit Aman.

FMT sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Waytha berhubung pertemuannya dengan polis malam tadi.

Petang semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan Waytha dipanggil untuk memberi keterangan sama ada di bawah Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengesahkan Waytha dipanggil berhubung kenyataan yang dikeluarkan ketika insiden keganasan di kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya, bulan lalu.

“Saya difahamkan pihak polis memanggil Waytha, atas faktor mungkin kenyataan dia buat waktu insiden itu berlaku,” kata Muhyiddin.

Sebelum ini, Waytha menyalahkan polis Subang Jaya kerana mengeluarkan kenyataan awal yang “salah dan tidak bertanggungjawab” berhubung kekecohan di kuil berkenaan.

Laporan polis juga pernah dibuat terhadap Waytha berhubung rakaman video tular mengenai wawancaranya di Belanda kira-kira 10 tahun lalu, yang menuduh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mendiskriminasi masyarakat India di Malaysia.