Berapa pendapatan tahunan yang anda dapat ketika anda berusia 8 tahun? Mungkin tidak sebanyak Ryan!

Anak kecil berusia 8 tahun dari Amerika ini menjana pendapatan RM92 juta (US$22 juta) hasil dari kepetahan beliau mengulas barang permainan yang kemudiannya dimuat naik ke laman YouTube.

Selain itu, Ryan juga punya jenama sendiri yang boleh didapati di Walmart.

Bermula pada 2015, Ryan mula memuat naik video di Youtube setelah menonton beberapa video ulasan alat permainan. Ibunya yang ketika itu adalah seorang guru mengambil keputusan untuk berhenti dan membantu Ryan sepenuh masa.

Ryan ToysReview memuat naik video baru setiap hari. Video bertajuk “Huge Eggs Surprise Toys Challenge” adalah antara video yang mendapat tonton tertinggi, 1.6 billion!

Menurut anggaran Forbes, pendapatan Ryan dalam ‘Ryan ToysReview’ telah mengatasi Jake Paul sebanyak US$500,000 (RM2 juta) selama 12 bulan hingga Jun.

Pendapatan Ryan, yang tidak termasuk cukai atau yuran dikenakan oleh ejen atau peguam, telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Ditanya oleh NBC mengapa kanak-kanak suka menonton videonya, Ryan berkata, video yang dihasilkan menghibur dan melucukan.

Sejak saluran itu ditubuhkan oleh ibu bapa Ryan pada Mac 2015, kesemua video Ryan ditonton hampir 26 bilion penonton serta mengumpul 17.3 juta pengikut.