1MDB tetap jadi fokus pada 2019, kata Anwar

1MDB adalah masalah besar kepada negara dan memerlukan perhatian agensi kerajaan. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya isu 1MDB tetap menjadi fokus pada 2019 memandangkan masih banyak perkara berkaitan syarikat pelaburan strategik itu belum selesai.

Anwar berkata, 1MDB merupakan masalah besar kepada negara dan ia bukanlah perkara yang boleh diselesaikan dalam masa beberapa bulan sahaja, malah memerlukan perhatian agensi kerajaan.

“Ia adalah masalah besar dan mesti dikendalikan, ia tidak boleh diselesaikam dalam masa beberapa bulan sahaja. Contohnya, isu berkaitan Goldman Sachs masih berterusan, serta Low Taek Jho atau Jho Low masih belum dijumpai.

“Saya tidak fikir kita boleh menutup isu ini. Orang ramai beranggapan kita ambil masa terlalu lama untuk selesaikannya, tetapi mereka tidak sedar ia adalah masalah besar.

“Ia juga memerlukan beberapa sumber dan usaha kerajaan untuk sekurang-kurangnya memperoleh semua kerugian yang kita hadapi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan isu berkaitan meningkatkan taraf ekonomi negara juga perlu menjadi fokus kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kita masih perlu memfokuskan kepada usaha mereformasikan ekonomi untuk mendorong kepada pertumbuhan ekonomi. Kita mewarisi masalah dan ia adalah masa untuk memfokuskan semula kepada langkah-langkah yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi.

“Saya fikir ini dapat diserlahkan dalam ucapan bajet Menteri Kewangan Lim Guan Eng, walaupun terdapat beberapa isu membabitkan perpaduan nasional yang kita perlu hadapi. Tetapi saya fikir isu utama masih menjadi isu ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, Anwar menyarankan kerajaan mengambil tindakan agresif bagi mendapatkan ganti rugi daripada Goldman Sachs berhubung kesan skandal 1MDB yang menjejaskan ekonomi negara.

Anwar berkata, Amerika Syarikat sudah memulakan pendakwaan tetapi Malaysia juga perlu ambil tindakan untuk menuntut kembali komisen berjumlah AS$600 juta yang terlibat.

“Bukan sahaja tuntut komisen, Malaysia juga perlu menuntut ganti rugi imej kita yang telah terjejas.

“Saya percaya kerajaan harus ambil langkah ini untuk mendapatkan pulangan hasil jauh lebih daripada komisen yang diserahkan kepada Goldman Sachs,” katanya.