5,000 Pemuda Umno, Unit Amal berkawal pada 8 Disember

PETALING JAYA: Kira-kira 5,000 Pemuda Umno dan Unit Amal PAS akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan keamanan dan kelancaran himpinan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata mereka akan memastikan sebarang bentuk provokasi, sama ada dalam bentuk perbuatan, laungan dan sorakan, poster dan plakad, yang menyentuh isu perkauman dan agama diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Pemuda Umno juga mengharapkan kerjasama semua pihak agar mengambil gambar individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan diserahkan kepada pihak keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan perhimpunan kesyukuran anjuran NGO, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) diadakan di Jalan Raja, antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad, dari 2.00 petang hingga 6.00 petang.

Himpunan itu diadakan selepas Putrajaya mengumumkan ia tidak akan mengesahkan ICERD pada 23 November lalu. Beberapa pihak mendakwa pengesahan perjanjian antarabangsa akan memberi kesan kepada keistimewaan Bumiputera.

Asyraf berkata himpunan itu bukan sahaja menolak ICERD tetapi juga membantah apa juga bentuk usaha yang boleh meruntuhkan keharmonian.

“Kerana kita adalah rakyat Malaysia yang cintakan keamanan yang telah dibina berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan mengikut acuan kita sendiri,” katanya.

Asyraf menyarankan peserta supaya menjaga disiplin dan membawa bersama beg plastik hitam untuk sampah sarap.

Beliau juga menyeru rakyat yang bersolidariti supaya berpakaian putih selama sehari dan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada keamanan dan keharmonian.