Bayi pertama lahir hasil pemindahan uterus penderma sudah mati

Kelahiran bayi perempuan hasil pemindahan uterus penderma yang sudah mati itu menjadi kes pertama seumpamanya di dunia. (Gambar AFP)

LONDON: Seorang wanita Brazil yang menjalani pemindahan uterus daripada penderma meninggal dunia, berjaya melahirkan bayi perempuan yang sihat dan menjadi kes pertama seumpamanya di dunia, lapor agensi berita Xinhua.

“Ia membuktikan kaedah itu boleh membantu wanita mengalami masalah ketidaksuburan untuk hamil dan melahirkan bayi yang sihat tanpa perlukan penderma hidup,” kata penyelidik Brazil dalam jurnal perubatan The Lancet yang dikeluarkan Selasa.

Bayi perempuan itu dilahirkan secara pembedahan di sebuah hospital di Sao Paulo, pada Disember 2017 selepas berada dalam kandungan hampir 36 minggu.

Bayi seberat 2.5550g semasa dilahirkan itu didapati menjalani proses perkembangan yang sihat sehingga usianya kini 7 bulan. Ibu kepada bayi berkenaan juga sihat.

Proses pemindahan uterus dilakukan pada September 2016 ketika wanita itu berusia 32 tahun dan penderma adalah wanita berumur 45 tahun meninggal dunia akibat strok, mempunyai 3 anak yang dilahirkan secara normal.

Sebelum penemuan baharu itu, pemindahan uterus dari penderma hidup terbukti berjaya dalam beberapa kes.