Bertugas macam biasa, kata Salahuddin selepas diugut kerana lembu

KUALA LUMPUR: Datuk Salahuddin Ayub berkata dia akan terus bertugas seperti biasa, selepas menerima ugutan kerana seekor lembu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata kejadian pada Ahad itu merupakan pengalamannya pertama diugut sepanjang dia terlibat dalam politik.

“Macam biasa sahajalah, tidak ada rasa takut atau trauma. Setakat ini saya ‘okay’. Termenung pun tidak,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata dia tidak mempunyai musuh dan tidak bergaduh dengan mana-mana orang. “Tiba-tiba menerima ugutan sebegini.”

Semalam, polis menahan seorang suspek yang dipercayai meletakkan bangkai seekor anak lembu beserta nota ugutan terhadap Salahuddin dan pegawai khasnya di pusat khidmat masyarakat DUN Simpang Jeram, Muar, Johor pada Ahad.

Suspek, 56, disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Bila saya pergi ke tempat kejadian, reaksi pertama saya ialah macam benda ini orang nak main-main. Saya harap benda ini tidak berpanjangan tapi polis mengatakan mengugut menteri adalah kes besar.

“Saya serah kepada polis dan yang paling penting, saya nak tahu apa motif sebenarnya,” katanya.

Polis berkata siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan Kementerian Pertanian kerana permohonannya untuk bantuan tidak dilayan.

“Kita menerima banyak permohonan,” kata Salahuddin.