Ramai kenalan atau diri sendiri yang terasa kenaikan berat badan selepas mendirikan rumah tangga. Ramai pula yang kekal langsing atau sama seperti anak dara. Memang beruntunglah empunya badan!

Kita di sini terpaksa berdiet, kawal pemakanan dan bertungkus-lumus bersenam, berjoging bagai, manakala sebilangan kecil ini meratah apa sahaja dan kekal ‘slim’.

Namun, bagi wanita dan lelaki berumah tangga yang berbadan besar, jangan risau, kami ada berita baik untuk anda. Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Southern Methodist University di Dallas, Amerika Syarikat mendapati kenaikan berat badan selepas kahwin menandakan pasangan itu bahagia.

Kajian bermula pada 2013, selama 4 tahun itu mengambil data daripada 169 orang peserta yang baru berkahwin dengan purata usia 25 tahun bagi suami dan 23 tahun bagi si isteri.

Sepanjang kajian pasangan perlu menjawab soalan mengenai kebahagiaan berumahtangga, dalam masa yang sama mengukur berat badan mereka.

Hasilnya, kebahagiaan dan kepuasan rumahtangga didapati amat berkait rapat dengan penambahan berat badan.

Kajian itu mendapati berat pasangan bahagia cenderung naik berbanding pasangan yang kurang bahagia. Bagaimanapun, ia juga mengambil kira faktor seperti kehamilan dan beranak.

Secara umumnya, ia juga menemui 4 sebab kenaikan berat badan yang signifikan dalam kalangan pasangan tersebut.

1 Masak dan makan bersama juga menjadi detik ‘romantik’

Bila dah berumahtangga, menikmati waktu makan secara bersama adalah antara aktiviti yang dilabel romantik. Bayangkan si isteri menyediakan masakan yang menarik dan kedua-dua mereka pasti tidak sampai hati merugikannya. Maka makanlah sepuasnya demi menjaga hati. Ini termasuk pilihan makan luar.

2 Terima seadanya

Pernah dengar ungkapan itu? Bila dah ada mantera tersebut dalam perkahwinan, maka pasangan pun tidak kisah mengenai perwatakan mereka. Lazimnya, pasangan dengan mentaliti ini lebih mementingkan perkara lain dalam hubungan seperti sifat tolong-menolong, toleransi dan sebagainya berbanding paras rupa. Maka bahagialah mereka.

3 Suami isteri berehat di atas sofa makan kentang goreng

Selepas seharian bertungkus-lumus dengan kerja di pejabat, di rumah pula dengan segala perihal menjaga anak, apa pelan seterusnya? Lepak di atas sofa sambil menonton soap opera? Kajian mendapati pasangan mencari kebahagiaan walaupun sekadar mengunyah kentang goreng di atas sofa sambil menonton tv. Hmm… patutnya bahagia berat badan naik.

4 Tak cukup tidur

Apabila berumah tangga, hamil, beranak dan menjaga anak, pasangan akan mengalami kesukaran mendapatkan rehat mencukupi. Salah satunya ialah tidur! Kekurangan tidur kerana menjaga anak, pasangan berdengkur, penat keterlaluan, masalah rumah tangga boleh memberi gangguan kepada hormon yang akhirnya menaikkan berat badan. Apapun, yang penting pasangan ini bahagia. Dengkur bukan sahaja bawa perceraian tetapi toleransi menerima kelemahan pasangan juga membawa kebahagiaan rumah tangga.