Isu keselamatan dibawa ke MKN sebelum Kabinet, kata Shahidan

KUALA LUMPUR: Isu-isu keselamatan kebiasaannya dibincangkan di Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dibentang ke Kabinet, kata Datuk Seri Shahidan Kassim, ketika timbul dakwaan tentera Malaysia membantu pakatan tentera pimpinan Arab Saudi bawah Ops Yaman 2 tanpa kelulusan Kabinet.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah isu-isu keselamatan yang memerlukan keputusan segera sukar dibawa ke Kabinet memandangkan jemaah menteri hanya bermesyuarat secara mingguan.

“MKN menjadi tempat pertama sebab sesetengah operasi perlu tindakan serta-mesta,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Shahidan berkata sekiranya maklumat Ops Yaman 2 tidak dibawa ke Kabinet, pastinya isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat MKN.

“Kalau ia tidak dibawa ke Kabinet, kalau semua anggota kabinet menafikan, bermakna sudah tentu ia dibawa ke MKN. Kita tidak boleh hantar pasukan tentera macam itu sahaja,” katanya.

Semalam, bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata maklumat Ops Yaman 2 dalam simpanan kerajaan, selepas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong mendakwa tentera Malaysia membantu pakatan tentera pimpinan Saudi tanpa kelulusan Kabinet.

Hishammuddin berkata timbalan menteri boleh merujuk perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara dan Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), “tentang apa yang sebenarnya kita lakukan”.

Namun, kerajaan perlu menyahrahsiakan maklumat-maklumat sulit itu, katanya.

“Harus melalui MKN. Hal ini kerana, dalam urusan ini, ia melibatkan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera,” kata Shahidan.

MKN berperanan sebagai pusat dalam pengurusan krisis dalam dan luar negara.

Menurut laporan media, ia dianggotai perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri pertahanan, menteri dalam negeri, menteri komunikasi dan multimedia, ketua setiausaha negara, panglima angkatan tentera dan ketua polis negara.

Liew hari ini mengumumkan satu jawatankuasa pilihan khas parlimen ditubuhkan untuk menyiasat sama ada atur gerak trup dan aset ATM ke Arab Saudi dalam Ops Yaman 2 mematuhi prosedur kerajaan.