Isu PTPTN: Anwar mahu jumpa Maszlee, Wan Saiful

Anwar Ibrahim mengakui ramai pengundi di Port Dickson dan Permatang Pauh mengadu mengenai mekanisme pembayaran balik PTPTN.

KUALA LUMPUR: Keresahan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhubung mekanisme pembayaran semula yang disifatkan sebagai tidak adil dan bercanggah dengan kontrak sedia ada, mendapat perhatian Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PKR itu berkata, pihaknya akan mengemukakan keresahan peminjam itu untuk pertimbangan Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan.

“Saya akan beri nota segera kepada mereka. Saya juga akan minta perdana menteri kaji, jika ada pandangan yang dapat membantu, saya pasti Wan Saiful dan Maszlee akan teliti semula,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, keputusan terbaru yang diumumkan PTPTN itu mendapat perhatiannya setelah ramai pengundi di kawasannya serta pengundi di Permatang Pauh mengadu masalah yang sama.

“Ya, saya dapat (aduan dari pengundi). Semua tekanan itu kami hadapi kerana ia juga melibatkan ahli-ahli keluarga mereka,” katanya.

Pada 27 November lalu, PTPTN mengumumkan mekanisme baru yang akan menyaksikan potongan wajib sebanyak 2 hingga 15% daripada gaji bulanan peminjam yang berpendapatan RM2,000 dan ke atas.

Walaupun jumlah bayaran balik peminjam yang mendapat gaji RM2,000 sebulan hanyalah RM40, namun jumlah itu meningkat bagi mereka berpendapatan RM8,000 dan ke atas, yang terpaksa membayar 15% atau RM1,200 setiap bulan.

Ramai pengguna media sosial mempersoalkan kadar potongan baru itu yang menurut mereka bermakna pertambahan beberapa peratus dalam jumlah yang terpaksa dibayar.

Sebelum ini, Wan Saiful memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam bergaji bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Wan Saiful yang juga penulis Buku Harapan, berkata agensi itu sudah cuba mencari mekanisme terbaik untuk merealisasikan manifesto PH sebelum ini, namun gagal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata, perkara ini perlu diteliti dari sudut perjanjian sebelum ini yang dipersetujui antara PTPTN dan peminjam bagi kadar bayaran balik.

“Ini bukanlah kali pertama pengumuman PTPTN yang mengundang kegelisahan seperti penetapan gaji minimum untuk permulaan bayaran balik yang ditetapkan pada RM 1,000, namun kini dipinda ke RM 2,000.

“Saya berharap PTPTN akan menangguhkan pelaksanaan potongan gaji berjadual pada kadar peratusan yang diumumkan ini dengan serta-merta,” katanya.