Kamarul Bahrin: Perlu dedah laporan Ops Yaman 2

KUALA LUMPUR: Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata kerajaan perlu mendedahkan laporan Ops Yaman 2, agar negara tahu perkara sebenar dalam keputusan pentadbiran lepas menempatkan tentera membantu pakatan pimpinan Arab Saudi di Yaman.

“Kerajaan perlu mendedahkan apa yang berlaku, kerana bukan hanya melibatkan soal kewangan tetapi maruah kerana Malaysia telah disebut dalam nada negatif di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” kata senator itu kepada FMT.

Beliau berkata tindakan perdana menteri dan menteri pertahanan ketika itu tidak berkongsi maklumat Ops Yaman 2 dengan Kabinet menimbulkan kecurigaan.

“Kenapa beria-ria sangat?” katanya.

Semalam, bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata maklumat Ops Yaman 2 dalam simpanan kerajaan, selepas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong mendakwa tentera Malaysia membantu pakatan tentera pimpinan Saudi tanpa kelulusan Kabinet.

Hishammuddin berkata timbalan menteri boleh merujuk perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara dan Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), “tentang apa yang sebenarnya kita lakukan”.

Namun, kerajaan perlu menyahrahsiakan maklumat-maklumat sulit itu, katanya.

Liew hari ini mengumumkan satu jawatankuasa pilihan khas parlimen ditubuhkan untuk menyiasat sama ada atur gerak trup dan aset ATM ke Arab Saudi dalam Ops Yaman 2 mematuhi prosedur kerajaan.

Ketika ditanya bila kerajaan akan menyahrahsiakan maklumat Ops Yaman 2, Liew menjawab: “semua siasatan akan dijalankan jawatankuasa Parlimen”.

Kamarul berkata Hishammuddin menggunakan MKN untuk berselindung daripada isu sebenar.

“Isu sebenarnya bukan MKN. Isu sebenarnya dia sorok keputusan itu daripada Kabinet dan Parlimen. Saya rasa MKN bukan faktor dalam isu ini.

“Kita tak pernah dengar sebelum ini kita nak pergi mana-mana kena tanya MKN,” katanya.

MKN berperanan sebagai pusat dalam pengurusan krisis dalam dan luar negara. Menurut laporan media, ia dianggotai perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri pertahanan, menteri dalam negeri, menteri komunikasi dan multimedia, ketua setiausaha negara, panglima angkatan tentera dan ketua polis negara.