Keterangan ketua pasukan audit 1MDB ‘amat membantu’, kata PAC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata keterangan bekas pengarah sektor audit kerajaan persekutuan “amat membantu” siasatan ke atas dakwaan laporan pengauditan 1MDB dipinda.

Timbalan Pengerusi Wong Kah Woh, yang pertama sekali menimbulkan dakwaan itu 29 Oktober lalu berkata, keterangan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad hari ini ditanya tentang bagaimana pindaan dijalankan dan senario pada masa itu.

“Kami ingin mengambil kira keadaan pada masa itu. Keterangannya akan membantu PAC capai kesimpulan semasa sediakan laporan nanti,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata keterangan diberi secara lisan dan mengambil masa selama 2 jam.

Terdahulu, Utusan Malaysia pada 25 November lalu melaporkan Saadatul menyimpan salinan asal laporan audit 1MDB sebagai bukti untuk mendedahkan penyelewengan.

Menurut akhbar itu, Saadatul diminta memusnahkan salinan itu tetapi dia menyimpannya dan menyerahkannya kepada Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus di Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad setelah bersara.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad mengatakan pindaan dibuat ke atas Laporan Pengauditan 1MDB atas arahan Najib dan bekas ketua setiausaha sulitnya, Tan Sri Shukry Salleh, antara lain.

Madinah dalam kenyataan 24 November juga berkata ahli perniagaan Low Taek Jho turut menghadiri mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan satu perenggan mengandungi 2 versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dikeluarkan.

PAC selepas ini akan memanggil bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Ali Hamsa.