Kulasegaran: Majikan tiada hak potong gaji pekerja tanpa kebenaran

Kulasegaran berkata, jika kewangan negara kukuh, tiada alasan untuk PTPTN melaksanakan langkah potongan gaji.

GEORGE TOWN: Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, majikan tiada hak untuk memotong gaji pekerja dalam konteks pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tanpa kebenaran pekerja terbabit.

Katanya pada masa ini tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan majikan berbuat demikian.

“Jadi, apa yang boleh dibuat ialah pinda Akta PTPTN terlebih dahulu dengan memperuntukkan bahawa mulai sekarang apa-apa yang tertunggak wang itu boleh dipotong daripada mana-mana pihak yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Undang-undang Pekerjaan 2018 ke-7, di sini hari ini.

Kulasegaran berkata, sekiranya ada undang-undang bagi tujuan itu, majikan juga tidak mempunyai pilihan melainkan mematuhinya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jai semalam bahawa perbadanan itu bekerjasama dengan 6 agensi bagi mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam untuk melaksanakan potongan gaji berjadual (PGB) bermula Januari depan.

Wan Saiful berkata, PGB itu adalah untuk peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratusan tertentu kepada majikan dan majikan bertanggungjawab membuat potongan itu.

Mengulas mengenai keluhan peminjam yang menyifatkan kaedah itu membebankan mereka, Kulasegaran berkata, negara kini berhadapan dengan masalah kewangan dan semua pihak perlu memainkan peranan.

“Jika kita dalam keadaan kukuh, tidak ada sebab untuk laksanakan langkah itu (potongan PTPTN),” katanya.