Najib keluar dari SPRM selepas 4 jam beri keterangan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disoal selama 4 jam atas dakwaan laporan audit 1MDB dipinda.

Bekas perdana menteri itu dilihat meninggalkan bangunan SPRM pada 2.30 petang tadi.

Beliau disoal penyiasat susulan kenyataan Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad mengatakan pindaan dibuat ke atas Laporan Pengauditan 1MDB atas arahan Najib dan bekas ketua setiausaha sulitnya, Tan Sri Shukry Salleh, antara lain.

Madinah dalam kenyataan 24 November juga berkata ahli perniagaan Low Taek Jho turut menghadiri mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan satu perenggan mengandungi 2 versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dikeluarkan.

Beliau berkata bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Ali Hamsa, bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy turut terlibat.

Semalam Amrin dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad disoal tentang laporan tersebut.

Dzulkifli menafikan sebarang pembabitan dalam perkara itu.