Peminjam PTPTN berang terhadap mekanisme bayaran balik baru

Ramai pengguna media sosial mempersoal kadar potongan baru PTPTN yang menurut mereka bermakna pertambahan beberapa ratus peratus dalam jumlah yang terpaksa dibayar.

PETALING JAYA: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang berang membanjiri laman Facebook tabung itu dengan aduan dan rayuan supaya ditimbangkan semula mekanisme pembayaran balik barunya yang mereka sifatkan sebagai tidak adil dan bercanggah dengan kontrak sedia ada.

Ini lanjutan pemakluman PTPTN berhubung mekanisme baru itu semalam, yang akan menyaksikan potongan wajib sebanyak 2-15% daripada gaji bulanan peminjam yang berpendapatan RM2,000 dan ke atas.

Walaupun jumlah bayaran balik peminjam yang mendapat gaji RM2,000 sebulan hanyalah RM40, namun jumlah itu meningkat bagi mereka berpendapatan RM8,000 dan ke atas, yang terpaksa membayar 15% atau RM1,200 setiap bulan.

Ramai pengguna media sosial mempersoalkan kadar potongan baru itu yang menurut mereka bermakna pertambahan beberapa ratus peratus dalam jumlah yang terpaksa dibayar.

“Tinggal di bandar dengan kos hidup yang tinggi sudah cukup membebankan,” kata Julia Ong. “Apakah anda mendiskriminasi golongan M40 dan secara membuta tuli memberi keistimewaan kepada kelompok B40? Bagaimana dengan kami, kelas menengah? Kami menderita dalam senyap”.

Dalam pada itu, Mohd Fahshah berkata, beliau kecewa dengan mekanisme baru itu kerana beliau tidak pernah terlepas membayar balik pinjaman, tetapi sekarang terpaksa membayar lebih 300% pinjaman tersebut, di samping komitmen lain seperti ansuran rumah, kereta, insurans dan kos membiayai keluarga.

“Potongan itu tidak adil,” katanya.

Daniel Ho bertanya sama ada terma baru itu terpakai ke atas pinjaman semasa PTPTN.

“Jika benar, maka ia melampau,” katanya. “Kami menandatangani kontrak dan sekarang PTPTN bertindak bertentangan dengan kontraknya sendiri.

“Daripada membayar RM200 sebulan sekarang, kepada RM1,200 bermula Jan tahun depan. Kebanyakan peminjam PTPTN adalah ibu-bapa dengan anak-anak yang masih kecil,” katanya, dengan menambah adalah sukar untuk mengubah suai perbelanjaan dalam masa sebulan.

Ng Weng Chin menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, supaya mengkaji semula mekanisme bayaran balik baru itu, dengan berkata, ia membebankan kumpulan M40.

FMT telah menghubungi PTPTN dan sedang menunggu responsnya.

Bagaimanapun FMT difahamkan, jumlah sebenar yang perlu dibayar oleh peminjam akan mengambil kira jumlah yang telah mereka bayar.

PTPTN berkata semalam, ia akan memaklumkan kepada peminjam jumlah sebenar yang perlu dibayar, dan menggesa mereka mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing supaya tabung berkenaan dapat berbuat demikian.

FMT juga difahamkan PTPTN dijangka menerbitkan maklumat FAQ berhubung isu tersebut hari ini.