Penduduk minta Selangor beri air percuma kepada semua, isi padu dikurangkan

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1.6 bilion untuk skim air percuma sejak ia dilaksanakan pada Jun 2008 hingga Oktober tahun ini. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Penduduk di Selangor menyifatkan tindakan kerajaan negeri hanya memberikan air percuma 25 liter kepada golongan berpendapatan rendah (B40), kurang adil dan tidak munasabah, sebaliknya mencadangkan skim itu ditawarkan kepada semua rakyat tanpa mengira pendapatan dalam kuantiti kurang sedikit.

Nisa Abdul Shamad.

Pekerja swasta yang menetap di Selangor hampir 30 tahun, Nisa Abdul Shamad terkejut dengan pengumuman itu kerana penduduk menikmati air percuma sejak beberapa tahun lalu di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan (PH).

“Dulu kerajaan beri 20 liter air percuma kepada semua rakyat di Selangor, tetapi sekarang dinaikkan kepada 25 liter, namun kepada golongan B40 sahaja.

“Bagi saya, kenapa tidak kerajaan kurangkan sahaja kadar liter tu, contohnya 15 liter dan berikan kepada semua? Itu lebih adil saya rasa. Semua orang pun dapat rasa kelebihannya,” katanya kepada FMT yang menyarankan Selangor mengambil langkah lebih proaktif dan adil bagi rakyat pelbagai lapisan.

Pensyarah, Nadeera Abdul Razak juga bersetuju kerajaan negeri perlu bertindak adil kepada semua rakyatnya.

Nadeera Abdul Razak.

Beliau yang tinggal bersama keluarganya di Selangor lebih 30 tahun berkata, jurang pendapatan B40 dan M40 tidak besar, oleh itu keputusan terbabit akan memberi kesan kepada golongan M40 sepertinya.

“Saya rasa setiap kelebihan yang kerajaan nak beri, sepatutnya perlu diberi sama rata pada setiap golongan. Setiap golongan perlu sama merasa keistimewaan yang kerajaan peruntukkan.

“Saya memang dah lama duduk Selangor, selama ini tiada masalah untuk diberi subsidi itu kepada semua. Saya tertanya-tanya kenapa isu jimat kos oleh kerajaan negeri baru dibangkitkan, sedangkan selama ini kerajaan Selangor memberi keistimewaan kepada semua.”

Pada 23 November lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan skim air percuma diteruskan tahun depan, tetapi hanya untuk golongan B40 yang berdaftar di bawah program e-Kasih, dengan kuantitinya dinaikkan daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan.

Skim air percuma dimulakan pada 2008, selepas Pakatan Rakyat merampas Selangor daripada Barisan Nasional. Pemberian itu antara manifesto PR pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12).

Pada 5 Disember lalu, Amirudin dilaporkan berkata, jumlah penduduk yang semakin meningkat di Selangor antara punca skim pemberian air percuma hanya dikhasnya kepada B40.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.6 bilion bagi skim itu sejak dimulakan pada Jun 2008 hingga Oktober tahun ini.

Katanya, peruntukan bagi skim itu bertambah setiap tahun, daripada RM68 juta pada tahun pertama kepada RM131 juta pada 2009, RM167 juta (2014), RM179 juta (2016) dan RM183 juta (2017).

Ahmad Faris.

Sementara itu, jurutera yang di Sungai Buloh, Ahmad Faris berkata skim pemberian air percuma sepatutnya diteruskan kepada rakyat pelbagai lapisan kerana ia satu keistimewaan di Selangor.

“Saya gembira jadi rakyat Selangor. Sebelum ini macam-macam kelebihan serta kemudahan yang saya nampak kerajaan beri kepada kami berbanding di negeri-negeri lain.

“Air percuma ni, hanya Selangor sahaja tidak silap saya yang laksanakan. Jadi, saya rasa keistimewaan tu sebagai rakyat negeri ini.

“Sepatutnya kerajaan berilah kepada semua, lebih-lebih lagi di peringkat kerajaan pusat pun PH yang memerintah. Anggap sahajalah ini hadiah kepada kami.”

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aini, tidak menyalahkan kerajaan negeri mengutamakan golongan B40, tetapi kerajaan sepatutnya mampu menilai kesan skim yang dilaksanakan sejak 10 tahun lalu.

“Sebenarnya, tiada masalah kita mendahulukan B40 kerana mereka yang memerlukan sokongan tersebut lebih daripada yang lain.

“Cuma persoalan saya, kenapa sekarang? Kenapa tidak setelah beberapa penggal benda ni berjalan? Kalau alasan kerana tidak cukup bajet, kenapa dari dulu tidak dilihat bila bertahun-tahun benda ni dah diberikan,” soalnya.