Penggabungan Felda-Felcra spekulasi, terserah pada kerajaan, kata pengerusi Felda

Pengerusi Felda, Megat Zaharuddin berkata, usaha bagi menyelesaikan semua isu yang melanda lembaga itu memerlukan masa 2 tahun. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Cadangan menggabungkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) hanya satu spekulasi, kata pengerusi Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Menurutnya sehingga hari ini beliau tidak pernah menerima apa-apa arahan daripada kerajaan mengenai penggabungan kedua-dua lembaga tersebut.

“Ini cuma spekulasi sahaja, namun perkara ini juga terpulang pada kerajaan (sama ada gabung atau tidak), fokus utama kita di Felda kini hanya mahu meningkatkan tahap dan kemampanan Felda pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen Kolej Yayasan Felda di sini.

Megat Zaharuddin diminta mengulas laporan sebuah akhbar kewangan mingguan baru-baru ini yang berkata kerajaan akan membentangkan Kertas Putih mengenai Felda di Parlimen yang dijangka mengandungi cadangan untuk memulihkan pengurusan kewangan dan tadbir urus dalam Felda.

Satu daripada cadangan ini adalah kemungkinan penggabungan dengan Felcra.

Terdahulu di dalam ucapan perasmiannya, Megat Zaharuddin tidak menafikan bahawa banyak perkara yang berlaku kepada Felda di tahun-tahun sebelum ini telah memberi implikasi negatif dan kegelisahan di kalangan masyarakat.
Katanya Felda kini sedang berusaha bagi menyelesaikan semua isu yang melanda dan meminta jangka masa selama 2 tahun bagi memperbaiki kembali Felda.

“Saya bersama lembaga dan pengurusan Felda perlu tempoh 2 tahun bagi memulihkan Felda, dengan bantuan semua pihak di dalam Felda kami yakin usaha kita pasti akan berjaya kelak,” tambahnya.

Pada majlis konvokesyen tersebut, seramai 496 orang pelajar Kolej Yayasan Felda Pahang dan Negeri Sembilan diraikan pada majlis yang diadakan di Menara Felda di sini.