Pinda laporan 1MDB: Najib beri keterangan pada SPRM

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohd Najib Razak hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung pindaan laporan audit 1MDB.

Sumber SPRM berkata Najib tiba di agensi itu pada jam 10.30 pagi tadi.

Ia selepas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengeluarkan kenyataan pada 24 November lalu, mendakwa Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda atas arahan beberapa individu, termasuk Najib; bekas ketua setiausaha sulitnya, Tan Sri Shukry Salleh; bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Ali Hamsa; bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Madinah berkata, laporan itu dipinda dengan menggugurkan 2 perkara penting, iaitu kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan 1 perenggan yang mengandungi 2 versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014.

Semalam, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika disoal siasat agensi itu menafikan terbabit dalam meminda laporan tersebut.

Beliau berkata, satu-satunya pembabitan beliau adalah ketika mewakili Jabatan Peguam Negara sebagai pegawai undang-undang untuk menghadiri satu mesyuarat pada Februari 2016.

Katanya, beliau antara saksi terakhir disoal siasat SPRM, di mana lebih 15 individu dipanggil agensi anti-rasuah itu sebelum ini.

Ambrin turut dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM semalam.