Polis tutup 6 jalan utama untuk demo 8 Disember

KUALA LUMPUR: Enam jalan utama di ibu kota akan ditutup bagi memberi laluan kepada perhimpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Dikriminasi Kaum (ICERD) 8 Disemberini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata Jalan Sultan Hishamuddin, Lebuh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Bulatan Datuk Onn akan ditutup bermula 6.00 pagi sehingga selesai perhimpunan.

“Kita sudah bagi kebenaran dan kita akan bagi kemudahan. Jadi ini 6 tempat yang kita tutup untuk beri laluan pada perhimpunan aman,” katanya pada sidang media Op Aman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata penutupan jalan itu membantu polis mengawal dan memantau perhimpunan dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan perhimpunan kesyukuran anjuran NGO, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) diadakan di Jalan Raja, antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad, dari 2.00 petang hingga 6.00 petang.

Himpunan itu diadakan selepas Putrajaya mengumumkan ia tidak akan mengesahkan ICERD pada 23 November lalu. Beberapa pihak mendakwa pengesahan perjanjian antarabangsa akan memberi kesan kepada keistimewaan Bumiputera.

Mazlan berkata polis mengatur penugasan pegawai dan anggota bermula esok bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam pada tahap tertinggi.

“Kita tak nak cakap berapa banyak takut bila sebut banyak macam nak pergi perang. Kita sebut ‘secukupnya’,” katanya.

Mazlan berkata ketua polis Brickfields membenarkan perhimpunan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan dan penyerahan memorandum kepada Istana Negara pada 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Polis mengingatkan peserta himpunan supaya mematuhi Akta Perhimpunan Aman, dan menasihatkan mereka memanfaatkan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan. Tidak mencetuskan provokasi, tidak membawa senjata yang berbahaya, tidak merekrut atau membawa kanak-kanak dan patuhi arahan pegawai dan anggota polis yang bertugas,” katanya.

Polis juga meminta orang ramai supaya tidak menularkan sebarang spekulasi atau khabar angin yang boleh menjejaskan ketenteraman awam ataupun menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.