Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor

PETALING JAYA: Status dan kegunaan Pulau Kukup, Pontian akan kekal sebagai taman negara, kata Setiausaha kerajaan Johor, Jaba Mohd Noah.

Dalam satu surat rasmi yang dimuat naik oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Twitternya berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersetuju Pulau Kukup diletakkan di bawah Enakmen Sultanate Land.

“Dan hendaklah dijaga dan dikawal selia oleh kerajaan negeri Johor di bawah Perbadanan Taman Negara Johor bagi menjadikan sebuah produk pelancongan Johor,” katanya.

Semalam, Tunku Ismail memaklumkan Pulau Kukup yang dibatalkan sebagai rizab taman negara akan menjadi Tanah Kesultanan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan pulau itu dilindungi lebih baik berikutan perubahan statusnya.

Kebimbangan mengenai Pulau Kukup timbul berikutan warta bertarikh 25 Oktober, memaklumkan pihak berkuasa negeri akan membatalkan keseluruhan kawasan Pulau Kukup sebagai taman negara di bawah Subseksyen 3(3) Enakmen Alam Sekitar Taman Negara (Johor) 1989.

Terdapat 6 taman negara di Johor iaitu Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar.