Rafizi saran TH tubuh pasukan bebas audit

Rafizi Ramli berkata kerosakan di Tabung Haji adalah disebabkan pentadbiran yang dulu.

PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menyarankan agar Lembaga Tabung Haji menubuhkan sebuah pasukan bebas bagi menjalankan audit menyeluruh ke atas operasi pengendalian haji.

Beliau berkata, penubuhan pasukan bebas itu bagi memastikan tidak ada unsur rasuah, penyelewengan dan komisen.

Katanya, ia juga bagi memastikan kos haji yang dikenakan ke atas setiap jemaah haji adalah kos yang benar dan bukannya termasuk unsur keuntungan yang tidak patut dan diwarisi dari pengurusan yang terdahulu.

“Kedudukan kewangan Tabung Haji nampaknya parah, seperti yang dilaporkan oleh The Edge Market semalam.

“Sekarang ini, bagi setiap RM1 hutang yang ditanggung Tabung Haji, nilai aset yang ada (dan boleh dilupuskan, jika perlu) untuk membayar hutang-hutang itu hanyalah 80 sen. Maksudnya, Tabung Haji tidak berkemampuan untuk membayar hutang-hutangnya sekarang,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sebelum ini, akhbar The Edge yang memetik sumber berkata pasukan baru Tabung Haji merangka satu pelan pemulihan yang mungkin melibatkan sebuah entiti kegunaan khas (SPV) bagi mengambil alih aset berprestasi rendah pada nilai aset bersih.

The Edge melaporkan, langkah itu bagi membolehkan Tabung Haji menutup ruang antara aset dan liabiliti. Tabung Haji dianggarkan mempunyai 80 sen bagi setiap ringgit liabiliti.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata beliau memahami keadaan Lembaga Tabung Haji sekarang dan perkara yang paling mudah adalah dengan menaikkan harga pakej atau memotong subsidi haji.

“Kerana kerosakan di Tabung Haji adalah disebabkan pentadbiran yang dulu,” katanya.

Bagaimanapun, Rafizi mengingatkan pengurusan Tabung Haji dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa tindakan yang berterusan perlu melibatkan penelitian ke atas setiap kos yang terbabit di dalam pengendalian operasi haji.

“Pertamanya apakah tiket penerbangan benar-benar harga yang terbaik? Kedua, apakah kos penginapan di Mekah telah dirunding dengan terbaik? Ketiga, apakah semua kos lain yang ditanggung dan dikenakan ke atas jemaah haji memberi nilai terbaik?” soalnya.

Rafizi berkata, fokus kini adalah bagaimana untuk memperbaiki kedudukan kewangan Tabung Haji tanpa memberi kesan yang mendalam kepada pendeposit terutama yang miskin.