Salahuddin, pegawai khas diugut kerana lembu

Polis berkata suspek tidak berpuas hati kerana permohonnya untuk bantuan tidak dilayan. (Gambar ehsan Ahli Parlimen, Sim Tze Tzin)

PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan pegawai khasnya di DUN Simpang Jeram menerima bangkai seekor anak lembu beserta nota ugutan pada Ahad.

Bangkai haiwan itu dipakaikan baju merah dan ditinggalkan di depan pusat khidmat masyarakat DUN Simpang Jeram, Johor bersama nota yang bertulis: “Lembu aku mati kena langgar, engkau aku bunuh, engkau tak ada otak, ini parang.”

Susulan itu, polis semalam menahan seorang suspek dalam siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. Suspek berusia 56 tahun itu ditahan reman sehingga Jumaat.

“Dia tidak berpuas hati dengan Kementerian Pertanian kerana permohonannya untuk bantuan tidak dilayan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Kamaluddin Kassim, berdasarkan siasatan awal.

“Lepas itu lembu dia dilanggar, itu lagi dia tak puas hati,” tambahnya. “Itu lembu lepas, yang tak dikawal dengan rapi, jadi sesiapa sahaja mungkin terlanggar. Jadi orang langgar dan tinggalkan macam itu sahaja.”

Sementara itu, pegawai khas Salahuddin di DUN Simpang Jeram, Mohd Huridin Samuri berkata bukan dia yang melanggar ternakan itu.

Huridin berkata ketika kejadian, dia berada di Yogyakarta, Indonesia sementara majikannya di Putrajaya.

Berdasarkan maklumat yang diperolehinya, Huridin berkata ugutan itu mungkin ada kaitan dengan permohonan seorang pengundi DUN Simpang Jeram yang mahukan padang ragut untuk lembunya.

Beliau berkata permohonan itu sedang diproses tetapi mungkin pemohon fikir mereka tidak membantunya.

“Minta padang ragut bukan hari ini minta dan esok dapat,” katanya. “Sebenarnya kami dah bantu dengan surat sokongan kepada pihak veterinar untuk cepatkan proses”.

Huridin berkata dia tidak maklum jika ada punca-punca lain.