Bila nak umum pengerusi baharu Finas, pengkarya tanya Gobind

Al Jafree Md Yusoff. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pengarah filem menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) segera mengumumkan barisan baru pengurusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ekoran masalah dalaman serius dalam laporan ketua audit negara.

Al Jafree Md Yusoff berkata Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 jelas menunjukkan betapa teruk pengurusan agensi kerajaan untuk industri filem itu.

“Soalnya, bila menteri nak umum pengerusi baharu? Kalau tengok laporan itu, teruk sangat pengurusan Finas,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas LKAN yang mendedahkan 19 seksyen dalam Finas gagal diaudit ekoran kegagalan mempersembahkan laporan lengkap.

Enam didapati tidak direkodkan, 3 tidak diiktiraf atau disahkan dan 3 lagi menunjukkan perbezaan penyata kewangan. Satu didapati tidak diaudit untuk laporan kepada ketua audit, 1 tidak selaraskan transaksi, 3 tidak diakaunkan dan 2 tidak dikutip bayaran.

Jafree, yang juga pengarah dan penulis skrip “P Ramlee The Musical” berkata, Kementerian mesti mengambil iktibar daripada pengurusan Finas lalu, terutama dalam soal kepakaran dan pengalaman calon yang bakal memimpin agensi itu.

“Individu yang ingin menjadi pengerusi Finas mestilah mereka yang berkary dan berseni. Mereka pun kenalah mahir selok-belok pentadbiran dan kena tahu macam mana nak urus tadbir.”

Bekas pengerusi Finas, Datuk Khusairi Abdul Talib meletak jawatan kurang seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Kekosongan itu belum diisi sehingga kini.

Sebelum ini, media melaporkan KKM bakal mengumumkan pengerusi baharu akhir minggu lalu, namun sehingga kini tidak nama baharu diumumkan.

Ditanya sama ada beliau mempunyai nama-nama yang sesuai untuk jawatan itu, Jafree enggan berkongsi pilihannya dengan FMT.

“Saya ada beberapa nama tapi saya tak boleh kongsi lah,” katanya.